Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pearly-Thinaah lolos pusingan pertama Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Spekulasi yang melanda beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah tampak tidak menjejaskan rentak mereka apabila berjaya melepasi halangan pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Indonesia, hari ini.

Pasangan ranking keempat dunia itu menariknya sekali lagi menjadikan beregu Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui sebagai ‘mangsa’ apabila mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-17 dalam tempoh 42 minit di Istora Senayan, Jakarta.

Kemenangan seakan mengulangi keputusan pertemuan kedua-dua pasangan di peringkat sama di kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu pada tahun lalu, yang juga memihak kepada Pearly-Thinaah.

Turut melepasi pusingan pertama adalah pasangan beregu campuran lima dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang mudah menyingkirkan beregu Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Sapsiree Taerattanachai.

Menghuni ranking 112, Horbanluekit-Taerattanachai jelas bukan tandingan pasangan suami isteri itu yang menang dengan keputusan straight set 21-12, 21-16 dalam tempoh 31 minit.

Cabaran lebih getir menanti Soon Huat-Shevon di pusingan kedua apabila dijadual bertemu pasangan tuan rumah yang menghuni ranking nombor 25 dunia Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah esok.

Sementara itu, langkah satu lagi beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting tersekat di pusingan pertama apabila disingkirkan pasangan tuan rumah, Isyana Syahira Meida-Rinjani Kwinara Nastine.

Pertemuan antara pasangan ranking ke-23 dan ke-20 dunia itu berlangsung sengit sebelum pasangan Indonesia itu meraih kemenangan dalam aksi tiga set 21-10, 14-21, 21-17 dalam tempoh 69 minit.

Turut terkandas awal adalah beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri apabila tewas kepada pasangan Jepun, Hoki Takuro-Yugo Kobayashi yang menghuni ranking ke-19 dunia.

Hon Jian-Haikal yang berada di ranking ke-39 dunia, tumpas dalam perlawanan straight set 13-21, 9-21 dalam masa 29 minit.