Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengakui terkilan mengecewakan peminat tempatan selepas gagal mempertahankan kejuaraan Masters Malaysia.
Gandingan negara yang menduduki ranking ketiga dunia itu tumbang seawal pusingan pertama selepas tewas di tangan gandingan Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch 18-21, 19-21 pada aksi di Axiata Arena, hari ini.
“Sebenarnya, kami datang dengan harapan yang sangat tinggi. Tahun lalu kami muncul juara dan sudah tentu tahun ini kami juga mengimpikan perkara sama. Namun kadang-kala keadaan tidak mengizinkan.
“Soon Huat sebelum ini berdepan masalah kecederaan, jadi dalam tempoh dua minggu terakhir sebelum kejohanan, kami agak bergelut untuk pulih dan kembali kepada rentak permainan asal.
“Walaupun saya masih kecewa dengan kekalahan hari ini dan rasa bersalah kepada penyokong tempatan yang hadir memberi sokongan, kami akan cuba bangkit dan kembali lebih kuat dalam kejohanan akan datang,” kata Shevon selepas tamat perlawanan.
Pasangan suami isteri itu muncul juara edisi tahun lalu selepas menewaskan gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.
Sementara itu, Soon Huat mengakui masih dalam fasa pemulihan namun bersyukur kerana mampu kembali ke gelanggang dengan pergerakan yang lebih lancar dan bertenaga berbanding sebelum ini.
“Sebelum ini saya tak boleh buat lompatan atau gerakan. Jadi memang agak terganggu. Hari ini pun kami cuba dan walaupun tewas, kami tetap beri saingan hingga ke mata terakhir,” katanya.
Ditanya mengenai kedudukan ranking semasa mereka yang masih dalam kelompok tiga terbaik dunia, Shevon menegaskan misi utama mereka adalah untuk kekal berada dalam kelompok empat terbaik dunia seperti disyaratkan Program RTG menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.