Kuala Lumpur: Pelari 110 meter (m) lari berpagar negara Rizzua Haizad meletakkan sasaran untuk melepasi syarat kelayakan ke temasya Sukan Sea Thailand hujung tahun ini apabila turun beraksi di Kejohanan Olahraga Asia (ATF), di Gumi, Korea Selatan, bermula dari 27 hingga 31 Mei ini.
Jelasnya persiapan ketika ini berjalan dengan baik di bawah bimbingan pemenang pingat emas Kejohanan Asia 1991, Nur Herman Majid dan akan berusaha untuk merealisasikan sasaran itu.
“Persiapan menjelang kejohanan di Korea setakat ini berjalan dengan baik walaupun sebelum ini ada kecederaan sedikit di bahagian pinggul. Tapi sekarang ini semuanya dan okey dan harap tak hadapi sebarang kecederaan sebelum ke Korea.
“Matlamat peribadi saya ke kejohanan ATF kali ini sangat besar sebab nak layak Sukan Sea terlebih dahulu dan ingin memperbaharui catatan peribadi.
“Jika diikutkan catatan masa pada 2023 memang sudah layak kerana kelayakan hanya 13.85s ke 13.86s dan saya punya 13.85s. Tetapi negara mahukan catatan masa yang terbaru, saya Insya-Allah akan melayakkan diri ke Sukan Sea,” katanya.
Sementara itu, Olahraga Malaysia (MA) mengesahkan penyertaan seramai 36 atlet dan 10 pegawai ke ATF kali ini selaras dengan objektif menghantar pasukan besar bagi memberikan pendedahan pertandingan bertaraf tinggi kepada atlet yang sedang membuat persiapan menghadapi Sukan Sea di Bangkok.
Malaysia meletakkan sasaran pingat ke atas dua atlet negara menerusi Shereen Samson Vallabouy dalam acara 400 meter (m) dan Irfan Shamsuddin, lempar cakera berdasarkan kedudukan ranking mereka di peringkat Asia.
Shereen, 26, mencatat rekod terbaik musim ini dengan kepantasan 53.66 saat dalam acara 400m di Kejohanan Memorial Tom Jones di Florida bulan lalu dan juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 51.79 saat.
Sementara itu, Irfan, 29, melepasi jarak 60m dalam acara lempar cakera untuk meraih pingat perak di Kejohanan Terbuka Queensland pada Mac lalu, yang juga catatan terbaik musim ini bagi dirinya.