Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Petua ‘senior’ bantu kemenangan Khai Xing-Aaron

Kuala Lumpur: Petua yang diberikan oleh beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi rahsia kejayaan beregu muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai untuk bangkit menumbangkan gandingan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer pada pusingan pertama Masters Malaysia, hari ini.

Juara dunia remaja yang menduduki ranking ke-58 dunia itu mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan lawan mereka yang juga finalis Terbuka Thailand minggu lalu 12-21, 21-11, 21-17 dalam tempoh 48 minit.

Khai Xing berkata, mereka sempat mendapatkan nasihat Aaron-Wooi Yik sebelum perlawanan hari ini selepas senior mereka itu berjaya muncul juara Masters Thailand menewaskan Boe-Kjaer.

“Memandangkan mereka berjumpa lawan sama di final Terbuka Thailand minggu lalu, mereka ada berkongsi sedikit tips, antaranya bagaimana untuk membaca bulu tangkis lawan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Mengulas perlawanan hari ini, Khai Xing mengakui dia serta Aaron beraksi agak santai yang menjadi punca kepada kekalahan mereka di set pertama.

“Semasa set pertama kami main agak santai…banyak bulu tangkis lawan tak dapat dibalas. Pada set kedua, jurulatih minta kami ubah corak permainan.

“Kami terus cuba kekalkan momentum pada set kedua di set ketiga,” katanya.

Satu lagi ujian getir bakal menanti gandingan negara pada pusingan kedua esok apabila bakal bertemu pilihan ketujuh, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

“Kami hanya mahu teruskan momentum ini untuk penyokong yang datang memberi sokongan di stadium,” kata Khai Xing.