Kuala Lumpur: Pemain boling negara, Sin Li Jane, hampir melakar sejarah merangkul Triple Crown dalam siri Jelajah Boling Profesional Wanita (PWBA) di Amerika Syarikat (AS), namun terpaksa akur menamatkan saingan di tempat kedua pada kejohanan USBC Queens, awal pagi tadi.
Li Jane, yang sebelum ini merangkul gelaran juara Boling Terbuka AS dan Jelajah PWBA tahun lalu, memburu kejuaraan ketiga tahun ini dalam usahanya menyapu bersih gelaran utama.
Namun impian itu terhenti apabila dia tewas 198-211 kepada pilihan utama tuan rumah, Josie Barnes, dalam aksi final yang berlangsung di Suncoast Bowling Centre, Las Vegas.
Kekalahan itu menyaksikan Li Jane menamatkan saingan selaku naib juara buat kali kedua di kejohanan sama selepas kali pertama pada tahun 2016.
Namun bagi Li Jane, keputusan itu tidak mematahkan semangatnya, malah dia melihat prestasi minggu ini sebagai dorongan untuk aksi seterusnya.
“Saya bangga dengan apa yang saya capai di USBC Queens kali ini. Banyak perlawanan yang saya tamatkan hingga ke frame terakhir semuanya penuh debaran dan sangat mencabar.
“Berada dalam kelompok lima terbaik dan layak ke final itupun satu pencapaian besar dalam kejohanan berprestij seperti ini.
“Secara peribadi, dalam tempoh sebulan, saya menjuarai Terbuka Malaysia, meraih tempat keenam di Topeka dan kini muncul naib juara di Queens. Sebagai pemain boling, berada di tahap ini adalah sesuatu yang sangat saya syukuri dan banggakan,” kata Li Jane.
Walaupun gagal membawa pulang gelaran, kempen kali ini tetap membanggakan kontinjen Malaysia apabila Nur Hazirah Ramli, yang membuat penampilan sulung di pentas PWBA, turut melangkah ke kelompok tiga terbaik.
Hazirah, yang muncul pilihan kedua selepas aksi cemerlang di peringkat match play, terpaksa akur apabila tewas 211-235 kepada Li Jane di separuh akhir.
Kejayaan mara ke final membolehkan Li Jane membawa pulang hadiah lumayan sebanyak ASAS$30,000 (RM128,500), manakala Hazirah membawa pulang AS$22,000 (RM94,200).
Sementara itu, skuad negara kecuali Hazirah dan Nur Syazwani Sahar kini mengalihkan fokus ke siri kejohanan seterusnya iaitu PWBA Summer Series yang merangkumi Terbuka Cleveland, Terbuka BowlTV dan Terbuka Rock ‘n’ Roll.