Kuala Lumpur: “Harap-harap ia hanya kecederaan ringan dan bukan sesuatu yang serius.”
Demikian harapan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen berhubung kecederaan terbaru menimpa perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong pada pusingan pertama Masters Malaysia, hari ini.
Tze Yong mengalami kecederaan pada lutut kanan ketika mendahului 22-20, 4-3 ke atas pemain Hong Kong, Ng Ka Long sebelum membuat keputusan untuk menarik diri.
Jonassen ketika ditemui berkata, memang mengecewakan apabila melihat Tze Yong terpaksa meninggalkan gelanggang akibat kecederaan.
“Lebih-lebih lagi dalam situasi dia sebenarnya sedang bermain pada tahap terbaik sejak kembali beraksi dan mempamerkan gaya permainan agresif.
“Mengenai kecederaan itu, kami cuba kekal positif dan berharap ia bukan sesuatu yang serius.
“Pemeriksaan awal menunjukkan memang ada sesuatu yang berlaku, tetapi kami perlu menunggu hasil imbasan esok sebelum dapat mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai situasi ini.
“Saya masih mahu berfikiran positif terutama selepas meneliti semula rakaman video kejadian itu. Harap-harap ia hanya kecederaan ringan, mungkin disebabkan ketegangan otot dan kami boleh segera memandang ke hadapan.
“Tapi, kami perlu tunggu hingga esok untuk dapatkan keputusan imbasan dan pandangan daripada doktor,” katanya.
Jelas Jonassen, beliau tidak berasakan kecederaan dialami Tze Yong itu akibat keletihan.
“Ia tiada kaitan dengan keletihan. Sebenarnya insiden tergelincir itulah yang menjadi puncanya.
“Jika bermain hingga ke penghujung set kedua atau masuk ke set ketiga, mungkin ia berkaitan dengan keletihan,” katanya.
Situasi terbaru itu nyata menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kecergasan Tze Yong yang sebelum ini pernah berehat panjang akibat kecederaan.
Untuk rekod, Tze Yong menjalani dua pembedahan selepas mengalami kecederaan belakang ketika menyertai Terbuka Malaysia Januari tahun lalu, sekali gus menyaksikan dia berehat hampir setahun daripada kejohanan kompetitif.
Dia kembali beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) dekat Ningbo, China pada April lalu.