Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dua beregu juara Terbuka Thailand terus melangkah

Kuala Lumpur: Dua beregu utama negara yang juga juara Terbuka Thailand minggu lalu, Pearly Tan-M Thinaah serta Aaron Chia-Soh Woi Yik tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua Masters Malaysia.

Gandingan Pearly dan Thinaah memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menundukkan pasangan Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying pada pusingan pertama di Axiata Arena, hari ini.

Pasangan nombor empat dunia itu mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-16 dalam masa 37 minit, sekal gus bakal berdepan wakil Thailand, Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad, esok, bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Pearly mengakui mereka lambat panas di awal permainan, namun berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sebelum menguasai permainan.

“Pada set pertama kami agak perlahan, tapi selepas mata ke-11, kami mula menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan angin.

“Dari situ kami mula keluarkan corak permainan kami,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik menewaskan gandingan Taiwan, Wang Chi Lin-Chiu Hsiang Chieh 21-18, 21-16 dalam masa 39 minit.

Aaron Wooi Yik yang kini menduduki ranking ketiga dunia akan bertemu satu lagi pasangan Taiwan, Liu Kang Heng-Yang Po Han di pusingan kedua, esok.