Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Cabaran perseorangan lelaki negara di Masters Malaysia berakhir

Kuala Lumpur: Justin Hoh mengakhiri kempen pemain perseorangan lelaki negara di Masters Malaysia selepas tersingkir seawal pusingan pertama, sebentar tadi.

Pada aksi di Axiata Arena itu, Justin tewas 14-21, 20-22 di tangan pemain nombor lapan dunia dari Jepun, Kodai Naraoka pada perlawanan yang berlangsung selama 56 minit.

Terdahulu, Leong Jun Hao tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas 21-10, 18-21 dan 9-21 di tangan wakil Ireland, Nhat Nguyen dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam 14 minit.

Ini adalah kali ketujuh berturut-turut Jun Hao tersingkir di pusingan awal sejak awal musim ini.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi seorang lagi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong apabila sekali lagi terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika bertemu pemain Hong Kong, Ng Ka Long.

Selepas memenangi set pertama 22-20 dan ketika sedang mendahului 4-3 di set kedua, pemain kelahiran Johor itu dilihat mengalami kecederaan pada lutut kanan sebelum membuat keputusan untuk menarik diri.

Tze Yong menjalani dua pembedahan selepas mengalami kecederaan belakang ketika menyertai Terbuka Malaysia Januari tahun lalu, sekali gus menyaksikan dia berehat hampir setahun daripada kejohanan kompetitif.