Kuala Lumpur: Stadium Titiwangsa terus menjadi gelanggang keramat buat skuad sepak takraw negara apabila sekali lagi menyaksikan Malaysia menewaskan Thailand untuk menjulang kejuaraan, kali ini dalam aksi final acara regu Piala Asia 2025, sebentar tadi.
Disaksikan kira-kira 3,000 penyokong setia yang membanjiri stadium, skuad negara tampil penuh semangat dan mempersembahkan aksi bertenaga untuk menundukkan musuh tradisi itu 2-0 menerusi kemenangan 15-12, 15-9.
Malaysia menurunkan gandingan mantap yang menjadi tunjang kejayaan sebelum ini, Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) manakala Thailand mempertaruhkan Sittipong Kamchan (tekong), Varayut Jantarasena (perejam) dan Yodsawat Uthaijaronsri (pengumpan).
Kejayaan ini sekali gus mengulangi detik gemilang yang dilakar ketika Piala Dunia 2024, yang turut berlangsung di lokasi sama dan menyaksikan Malaysia menewaskan Thailand dengan barisan sama untuk muncul juara.
Sorakan padu penyokong yang bergema di seluruh stadium membakar semangat pemain negara dan menjadi lambang kebangkitan semula dominasi Malaysia dalam sukan sepak takraw di pentas antarabangsa.
Keunggulan trio negara itu menyaksikan Thailand cuba melakukan perubahan taktikal apabila mengeluarkan Sittipong dan memasukkan Jakkarit Thinbangbon selepas ketinggalan 0-4 selain mengeluarkan Varayut dan digantikan dengan Sutthikiart Panseankaew pada lewat permainan namun gagal menghasilkan kebangkitan.
Dengan kejayaan ini, Malaysia bukan sahaja berjaya membalas kepercayaan penyokong tanah air, malah membuktikan kemampuan sebenar mereka menyaingi Thailand, pasukan yang sekian lama dilabel sebagai gergasi Asia.
Skuad negara kini berada di landasan terbaik untuk terus mendominasi kejohanan besar selepas ini, selepas menjuarai kuadran dan naib juara beregu kejohanan edisi sulung serta memburu trofi acara berpasukan yang membuka tirai esok.