Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia ‘libas’ Thailand, juara regu Piala Asia

KUALA LUMPUR: Stadium Titiwangsa bergema dengan sorakan gemuruh kira-kira 3,000 penyokong tempatan apabila skuad sepak takraw negara menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 dalam aksi final acara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, sebentar tadi.

Dibantu sokongan padu di gelanggang sendiri, regu Malaysia tampil penuh keyakinan dan disiplin tinggi untuk meraih kemenangan bergaya 15-12, 15-9 ke atas seteru tradisi yang sebelum ini sering menjadi penghalang di pentas antarabangsa.

Malaysia menurunkan trio utama dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi selaku tekong, Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan), manakala Thailand mempertaruhkan Sittipong Kamchan (tekong), Varayut Jantarasena (perejam) dan Yodsawat Uthaijaronsri (pengumpan).

Dominasi skuad negara terserlah seawal set pertama apabila libasan tajam Azlan serta servis bertenaga Syahir memaksa Thailand beraksi dalam tekanan.

Pemain kebangsaan meraikan kemenangan selepas perlawanan akhir acara Regu antara pasukan Malaysia menentang Thailand di Kejohanan ASTAF Sepaktakraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa. Foto: NSTP

Di set kedua, meskipun Thailand cuba melakukan perubahan taktikal apabila mengeluarkan Sittipong dan memasukkan Jakkarit Thinbangbon selepas ketinggalan 0-4 selain mengeluarkan Varayut dan digantikan dengan Sutthikiart Panseankaew pada lewat permainan, ia masih belum mampu menyekat kemaraan skuad negara yang tampil garang dan konsisten sehingga ke akhir perlawanan.

Kejayaan itu mengulangi detik manis di Stadium Titiwangsa pada Piala Dunia 2024 apabila Malaysia turut muncul juara acara regu menewaskan Thailand, juga dengan gandingan yang sama Syahir, Azlan dan Farhan.

Ini adalah gelaran kedua buat skuad negara di Piala Asia 2025 selepas merangkul kejuaraan acara kuadran manakala muncul naib juara acara double selepas tewas di tangan Thailand.