Kuala Lumpur: Siapa sangka jaguh beregu lelaki negara dan Olahragawan Majlis Sukan Negara (MSN) 2024, Aaron Chia, sebenarnya peminat tegar bintang K-Pop tersohor, G-Dragon.
Dalam satu hantaran di platform X (dahulunya Twitter), pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa melepaskan peluang menyaksikan secara langsung konsert idola muziknya yang bakal berlangsung pada Julai ini.
Kekecewaan Aaron berpunca daripada komitmen mewakili negara dalam Kejohanan Badminton Terbuka Jepun yang berlangsung pada tarikh sama dengan konsert siri jelajah Ubermensch oleh G-Dragon di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 19 dan 20 Julai 2025.
Aaron yang akan bergandingan dengan Soh Wooi Yik di kejohanan berprestij itu, tetap meletakkan tugas negara sebagai keutamaan, meskipun terpaksa melupakan impian menonton persembahan artis pujaannya dari Korea Selatan secara langsung.
G-Dragon yang juga ketua kumpulan ikonik BIGBANG, kali terakhir mengadakan konsert solo di Malaysia pada tahun 2017 menerusi siri jelajah Act III: M.O.T.T.E World Tour di Stadium Merdeka.
Kepulangan semula “Raja K-Pop” ke pentas konsert Malaysia selepas lapan tahun sememangnya dinanti-nantikan peminat, termasuk Aaron yang tidak berselindung dalam menyatakan sokongannya terhadap ikon muzik tersebut.
Walaupun tidak dapat hadir secara fizikal, semangat dan sokongan Aaron terhadap G-Dragon tetap utuh, membuktikan di sebalik kejayaan di arena sukan, beliau juga seorang peminat muzik yang setia.