Kuala Lumpur: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, menyambut baik kehadiran jurulatih baharu yang bakal membimbing mereka bagi menghadapi beberapa kejohanan penting termasuk Sukan Sea Thailand yang akan berlangsung Disember nanti.
Jelasnya, terdapat beberapa nama yang dikatakan bakal dibawa masuk oleh Olahraga Malaysia (MA) dan dirinya yakin kehadiran pelatih itu akan membantu atlet negara dalam meningkatkan lagi prestasi.
“Sebenarnya masih belum diumumkan lagi, jadi Adik (Zaidatul) tidak boleh bercakap lebih sebab masih belum tahu lagi. Cumanya, Adik berasa memang sudah ada dan menanti Presiden (MA, Datuk Seri Shahidan Kassim) dan Ketua Pengarah (Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin) berbincang mengenai hal ini.
“Sudah pasti ini menggembirakan dan mungkin akan ada jurulatih tempatan dan luar negara yang akan mengajar pelari pecut,” katanya yang ditemui selepas tamat acara final 100 meter (m) di Stadium Merdeka, semalam.
Untuk makluman, nama jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim antara yang dikatakan bakal kembali ke dalam skuad olahraga Malaysia.
Namun, sebelum ini Arena Metro melaporkan bahawa Poad masih belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran daripada MA untuk kembali melatih atlet pecut negara bagi menghadapi temasya Sukan Sea Thailand hujung tahun ini.
Dalam perkembangan sama, pelari berusia 32 tahun itu menyatakan kemenangan yang diraih dalam Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur 2025 bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia perlu bersaing dengan pelari muda dan dirinya sangat berpuas hati kerana masih berjaya menjadi pelari terpantas.
Terdahulu, pelari berpengalaman, Zaidatul menepati ramalan untuk muncul juara 100 meter wanita dengan catatan masa 11.72 saat (s) sementara pingat perak dimenangi oleh Nur Aishah Rofina Aling dari Kesatuan Olahraga Sabah dengan catatan 11.80s dan Azreen Nabila Alias dari pasukan kebangsaan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa, 11.83s.