Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Danish mahu terus ukir nama dalam acara pecut

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur 2025, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menyasarkan untuk melakukan catatan masa 10.20 saat (s) selepas ini.

Pelari berusia 18 tahun itu optimis dirinya mampu melakukannya dan akan terus meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa untuk berada di landasan tepat agar sasaran itu mampu dikecapi.

Keyakinan itu hadir selepas dirinya berjaya melakukan catatan 10.57s pada aksi final 100m di Stadium Merdeka, semalam sekali gus memberi amaran awal kepada pelari senior bahawa dia akan menjadi pencabar utama pada kejohanan itu.

Untuk rekod, Danish memaklumkan rekod peribadi terbaik dalam acara itu ialah 10.47s yang dilakukannya pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) di Vietnam, tahun lalu.

“Kalau bercakap mengenai sasaran (catatan masa), mungkin saya akan meletakkan sasaran 10.30s ataupun 10.20s, tetapi perkara paling penting adalah untuk buat yang terbaik serta ikut segala proses latihan dan pemulihan.

“Berhubung garis masa itu, memang tidak ada kerana saya hanya percaya pada rezeki Allah sahaja. Setakat ini saya berpuas hati tetapi, insya-Allah, akan buat lebih baik lagi pada masa hadapan,” katanya.

Sebagai makluman, nama Danish dalam sukan olahraga bukanlah asing lagi apabila dia berjaya merangkul gelaran raja pecut pada Sukma Sarawak 2024 yang lalu.

Terdahulu, pelari yang mewakili Sukma Johor itu mencuri tumpuan dalam final acara pecut lelaki dan paling manis, dia berjaya mengalahkan atlet kebangsaan seperti Jonathan Nyepa, Muhammad Zulfiqar Ismail termasuk bekas juara Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan.