Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara, Aira Azman menepati ramalan untuk muncul juara Kejohanan Terbuka Bermuda di Devonshire, awal pagi tadi waktu Malaysia.
Turun selaku pilihan pertama, Aira tidak berdepan masalah besar apabila hanya memerlukan 27 minit untuk mencatat kemenangan 12-10, 11-3, 11-6 ke atas lawan dari Mesir, Hana Moataz.
“Saya sangat gembira kerana dapat memenangi gelaran PSA yang keempat. Ia amat bermakna untuk saya dan meningkatkan tahap keyakinan saya untuk terus memperbaiki pencapaian.
“Saya sudah berusaha keras dengan jurulatih dan pasukan, jadi saya gembira kerana ia sudah membuahkan hasil. Terima kasih kepada semua orang yang sentiasa memberi sokongan kepada saya dalam perjalanan ini,” katanya.
Selain itu, kemenangan 3-0 pada aksi final itu juga memberikan motivasi untuk dia terus meningkatkan prestasi semasa bagi menghadapi Kejohanan Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2024-2025 yang akan diadakan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) dari 9 hingga 17 Mei ini.
“Saya akan terus berusaha serta meningkatkan latihan untuk tampil dengan lebih baik dan berharap akan kekal cergas untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Untuk kejohanan di Chicago nanti, Aira yang berada di ranking ke-30 dunia akan bertemu wakil England, Torrie Malik dan dilihat mampu melangkah ke pusingan kedua. Dia dijangka akan bertemu pemain ke-12 dunia dari Mesir, Salma Hany Ibrahim Ahmed.
Sekiranya Aira mampu mengalahkan Salma Hany, kemungkinan dirinya akan bertemu sekal lagi kakaknya, Aifa Azman atau seorang lagi wakil Malaysia, Rachel Arnold di pusingan ketiga sekiranya masing-masing berjaya melepasi halangan di pusingan awal.