Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi melihat reaksi segelintir peminat dari Indonesia yang ‘cemburu’ atas kejayaan beliau membimbing Aaron Chia-Soh Wooi Yik sehingga muncul juara di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, Ahad lalu, sebagai perkara biasa.
Jelas jurulatih kelahiran Indonesia itu, beliau lebih suka melihat dari sudut positif dan menganggap ia sebagai tanggungjawab untuk memberikan yang terbaik kepada pemain negara dalam setiap kejohanan disertai.
Selepas gandingan negara itu muncul juara di BAC 2025, segelintir peminat seakan-akan marah kepada Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) kerana melepaskan seorang jurulatih yang begitu berpengalaman dan menganggapnya sebagai satu kerugian besar buat negara mereka.
“Itu adalah risiko apabila saya bekerja (menjadi jurulatih di Malaysia). Mereka yang ada ‘problem’ (masalah) dan saya tiada masalah.
“Mereka boleh memberi komen, mungkin kerana saya sudah lama (menjadi jurulatih) di Indonesia, dan kebetulan keadaan di BAC lebih memihak kepada Malaysia sehingga muncul juara.
“Pada saya, mungkin mereka ada sedikit iri dan itu pada saya OK kerana itu adalah risiko bekerja (di Malaysia),” katanya.
Sementara itu, jurulatih yang digelar ‘Naga Api’ itu turut memaklumkan hubungan beliau bersama PBSI dan bekas anak didiknya itu adalah baik dan tiada sebarang isu antara mereka.
“Tiada masalah kerana ketika saya di Ningbo, saya dan pemain dari Indonesia ada keluar bersama, pergi makan dan sebagainya.
“Ini kerana saya sudah lama berkawan dengan mereka dan kami tiada masalah,” kata Herry.
Untuk rekod, beliau sudah menabur bakti selama 25 tahun bersama PBSI dan berjaya mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa seperti juara Olimpik, Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).
Malah dalam tempoh itu, beliau melatih ramai beregu lelaki handalan negara itu seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya, Hendra Setiawan-Markis Kido, Marcus Fernaldi Gideo-Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Fajar Alfian-Rian Ardianto.