KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan memilih jalan sukar dalam misi untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia 2024 selepas tewas 4-2 di tangan China pada aksi kedua di Hulunbuir, Inner Mongolia, China, hari ini.
Selepas mengharungi dua perlawanan, Malaysia hanya mengutip satu mata menerusi keputusan seri 2-2 dengan Pakistan dalam perlawanan pertama, semalam.
Pada aksi menentang China, lawan terlebih dahulu di depan apabila membuka tirai jaringan menerusi Gao Jiesheng yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan.
Skuad Speedy Tigers bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-14 sebelum Jiesheng sekali lagi menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-32 untuk meletakkan China kembali di depan 2-1.
China terus melebarkan penguasaan selepas Lin Changliang menjaringkan gol padang pada minit ke-40 sebelum Faizal Saari merapatkan jurang dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-50.
Ketika Malaysia terdesak mencari gol penyamaan, China sebaliknya berjaya meledak gol keempat menerusi penalti stroke yang disudahkan Chao Jieming pada minit ke-56 untuk membolehkan pasukan itu menang 4-2.
Kekalahan menyaksikan Malaysia yang dibimbing Sarjit Singh tidak mempunyai pilihan selain menang dalam baki tiga perlawanan pusingan pertama yang dijalankan secara liga sepusingan untuk berada dalam kelompok empat teratas sekali gus mara ke separuh akhir.
Anak buah Sarjit seterusnya akan menentang India, Rabu ini diikuti Jepun (Khamis) dan Korea Selatan (Sabtu).-Berita Harian