Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives Ogos 29, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PENGUMUMAN LANJUTAN KONTRAK PENAJAAN MAJLIS SUKAN NEGARA DAN ALLIANZ MALAYSIA

YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN telah hadir pada Majlis Pengumuman Lanjutan Kontrak Penajaan MSN dan Allianz Malaysia oleh YBrs. En. Sean Wang, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz ketika sesi bersama atlet-atlet para pada 22 Ogos yang lalu bertempat di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kg. Pandan.

Allianz Malaysia mengumumkan lanjutan kontrak penajaan bagi tempoh empat tahun bagi membantu membiayai program latihan atlet-atlet para negara daripada 2025 sehingga 2028 termasuk dilantik sebagai rakan strategik dan penaja utama program serta temasya sukan utama.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Misi emas Paralimpik negara bermula

PARIS: Bandar Paris sekali lagi bermandikan cahaya dengan menampilkan upacara pembukaan yang cukup memukau sempena Sukan Paralimpik Paris 2024 malam tadi, selepas 17 hari berakhirnya temasya Sukan Olimpik 2024.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Sukan Paralimpik, majlis pembukaan diadakan di luar stadium sama seperti majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 dalam suasana cukup menakjubkan di tengah-tengah kota Paris, kecuali perarakan terapung di sepanjang Sungai Seine.

Majlis yang penuh menakjubkan ini dipenuhi dengan gabungan persembahan seni dan detik-detik yang menyentuh hati, berlangsung di hadapan ribuan penonton yang berkumpul di bahagian bawah Champs-Elysees hingga ke dataran terbesar dan paling indah di Paris, Place de la Concorde.

Perasmian dimulakan dengan segmen ‘Discord’ dengan menampilkan 140 penari yang mewakili ‘Strict Society’ dan 16 penghibur yang dikenali sebagai ‘Creative Gang’ yang bergerak dengan penuh tenaga, bebas dan kreatif dengan menekankan masyarakat yang mendakwa inklusif tetapi gagal benar-benar mengintegrasikan golongan kurang upaya.

Maskot rasmi Sukan, Phryges, mengambil alih pentas untuk menyambut para atlet dan pegawai dari 168 negara bermula dengan Afghanistan ketika mereka berarak dari Champs-Elysees sebelum mengelilingi kawasan pentas di Place de la Concorde.

Kontinjen Malaysia yang tampil sebagai negara ke-94 dan terdiri daripada 24 atlet dan pegawai dengan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin menggalas tugas bersama pelumba basikal para negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais membawa Jalur Gemilang.

Atlet negara mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga berwarna hijau zaitun dengan motif emas yang dipadankan dengan songkok dan sampin (lelaki), serta Baju Kurung (wanita), yang direka oleh pereka fesyen tempatan terkenal Rizman Ruzaini.

Selepas tuan rumah Perancis mengakhiri perarakan atlet, artist Lucky Love mendendangkan lagu berjudul ‘My Ability’ diringi dengan persembahan mengisahkan masyarakat tegas ‘Strict Society’ mula menyedari prasangka mereka terhadap ‘Creative Gang’ membawa kepada kebangkitan dan refleksi diri.

Bendera Perancis kemudian dinaikkan mengikut lagu kebangsaan mereka, ‘The Marseillaise’, yang ditafsirkan semula oleh Victor le Masne, komposer dan pengarah muzik bagi majlis Paris 2024 dan dipersembahkan oleh Ensemble Matheus.

Apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengisytiharkan Sukan Paralimpik Paris 2024 dibuka dari tempat duduk rasmi, ‘Strict Society’ dan ‘Creative Gang’ berkumpul sekali lagi dalam pertunjukan koreografi besar menggabungkan tarian, sukan dan seni ke dalam permainan fiksyen yang berfokus pada kerjasama berpasukan.

Bekas pelari pecut Britain dan pemenang pingat gangsa acara 100 meter (m) T42 (kecacatan fizikal) lelaki di Sukan Paralimpik Beijing 2008, John McFall kemudian diberi penghormatan untuk membawa bendera Paralimpik ke pentas diikuti dengan ikrar Paralimpik dilafazkan oleh para atlet, jurulatih dan pengadil.

Acara kemuncaknya dengan menyalakan kawah oleh lima atlet Paralimpik Perancis – Charles-Antoine Kouakou (olahraga), Nantenin Keita (olahraga), Fabien Lamirault (ping pong), Alexis Hanquinquant (triatlon) dan Elodie Lorandi (renang).

Kawah tersebut terdiri daripada cincin api dengan diameter tujuh meter (m) dengan di atasnya terdapat belon setinggi 30m dan diameter 22m, yang direka sebagai penghormatan kepada penerbangan pertama dua pencipta Perancis Jacques Alexander Charles dan Nicholas Louis Robert pada Disember 1783 dalam belon hidrogen buatan Jardindes Tuileries.

Edisi 2024 ini adalah Sukan Paralimpik pertama dianjurkan Paris walaupun bandar ini telah tiga kali menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada tahun 1900, 1924 dan 2024.

Sekitar 4,400 atlet dari seluruh dunia akan bersaing dalam 22 sukan sehingga 8 Sept ini manakala tiga negara – Eritrea, Kiribati dan Kosovo akan membuat penampilan sulung Paralimpik mereka di ibu negara Perancis.

Malaysia, menampilkan 30 atlet dalam lapan sukan berbeza, kontinjen terbesar mereka sejak debut Sukan Paralimpik pada edisi 1972 di Heidelberg, Jerman. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia