‘Fikir menang, bukan 8 gol’

KUALA LUMPUR: ‘Jangan fikir pasal lapan gol, main sahaja untuk menang!’

Itu pandangan pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang mengharapkan barisan pemain skuad Harimau Malaya tidak terlalu ‘menekan’ diri pada aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Pekan yang juga Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut menganggap misi untuk ‘membantai’ Taiwan sehingga lapan gol sebagai satu perkara yang agak mustahil namun beliau mengakui ‘keajaiban’ boleh berlaku dalam dunia bola sepak.

“Saya rasa agak mustahil untuk kita jaringkan sampai lapan gol dan kita pun kena tengok bagaimana jaringan itu nanti. Mungkin akan timbul persepsi lain pula di mana Taiwan sengaja bagi Malaysia menang besar dan kita pun perlu ingat, kita bergantung pada keputusan Oman dan Kyrgyzstan juga.

“Jadi bagi saya, kita mainlah dengan apa yang kita boleh menggunakan pemain yang kita ada. Mungkin juga kalau ada nasib, adalah (layak ke pusingan seterusnya), kalau tiada, maka tiadalah (kandas pusingan kedua kelayakan).

“Berikan persembahan terbaik dan jangan pula kalah dengan Taiwan. Jadi pemain negara fokus untuk dapatkan kemenangan ke atas Taiwan dahulu, tak kiralah berapa gol pun yang kita akan dapat dan selebihnya, kita berserah pada takdir,” katanya ketika ditemui di final Kejohanan Bolasepak Universiti Asia (AUFT) 2024, semalam.

Terdahulu, peluang untuk Harimau Malaya melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027 semakin tertutup apabila terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan, Khamis lalu.

Satu mata yang diraih di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon berdepan tugas yang sangat sukar apabila perlu mengatasi Taiwan dengan jaringan besar dalam aksi terakhir Kumpulan D selain mengharapkan Kyrgyzstan tewas kepada Oman.

Berbaki satu lagi perlawanan, skuad negara berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata meskipun satu ketika mendahului saingan peringkat kumpulan selepas dua perlawanan pertama hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan.

Dalam perkembangan sama, Pekan menegaskan situasi yang menyaksikan skuad negara ketika ini berdepan peluang sukar untuk mara ke pusingan seterusnya adalah berpunca daripada kesilapan sendiri.

“Apapun yang berlaku dengan kedudukan kita yang terpaksa berhempas pulas dan bergantung nasib pada pasukan lain, ini adalah salah kita kerana gagal menguruskan perancangan dan persiapan yang terbaik sedangkan kita sudah menang dua perlawanan pertama.

“Kita harus terima hakikat dan tidak memberi pelbagai alasan. Kita perlu ada rasa rendah diri dan terima kelemahan kita supaya perkara ini tidak akan berlaku lagi.

“Kita selalu berkeyakinan tinggi tetapi keyakinan itu tidak seiring dengan usaha yang kita buat,” katanya.-Berita Harian