Tindakan Yi Wen ‘ingkar’ nasihat doktor berbaloi

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, Chan Yi Wen mengakui puas apabila berjaya mengesahkan tiket ke Kejohanan Skuasy Dunia buat kali pertama selepas menjuarai pusingan kelayakan Zon Asia, hari ini.

Yi Wen memastikan tiket ke kejohanan berprestij itu selepas menundukkan rakan senegara, Sehveetrraa Kumar 11-6, 11-3, 11-3 dalam tempoh 24 minit pada aksi final yang berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta di sini.

Juara Piala Cabaran Skuasy Hong Kong 2024 itu, berkata dia gembira apabila dapat menebus kekecewaan tahun lalu yang menyaksikan dia terlepas tiket ke Kejohanan Dunia selepas terkandas di pusingan kelayakan.

Katanya, keputusan ‘mengingkari’ nasihat doktor untuk dia berehat selama tiga bulan susulan kecederaan buku lali dialami pada Februari lalu berbaloi dengan pencapaian layak ke Kejohanan Dunia buat kali pertama dalam kerjayanya

“Saya disahkan mengalami kecederaan ligamen buku lali dan koyak pada ligamen pada Februari lalu.

“Doktor beritahu bahawa saya sepatutnya berehat tiga bulan tetapi saya cakap tidak boleh kerana saya perlu bermain kejohanan penting tahun ini.

“Saya cakap kepada doktor, percaya pada saya kerana saya mampu buat keajaiban.

“Jadi, saya menjalani fisioterapi dan ia sedikit sebanyak membantu saya untuk turun bersaing pada kejohanan ini. Saya gembira kerana berjaya meraih slot ke kejohanan dunia buat kali pertama,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, Malaysia terlepas tiket dalam acara perseorangan lelaki selepas wakil negara, Addeen Idrakie Bakhtiar tewas di pentas final.

Addeen terpaksa akur dengan gelaran naib juara apabila tunduk di tangan pemain Jepun, Ryunosuke Tsukue 9-11, 8-11, 3-11.

Yi Wen akan menyertai empat lagi pemain negara yang sudah melayakkan diri lebih awal iaitu Ng Eain Yow, S Sivasangari, serta Aira Azman dan Aifa Azman.

Kejohanan Skuasy Dunia akan berlangsung di Kaherah, Mesir dari 8 hingga 9 Mei ini.-Berita Harian