Jangan abai peruntukan untuk pembangunan sukan – Hannah

KERAJAAN negeri dinasihatkan untuk tidak ‘menganaktirikan’ atau menganggap agihan peruntukan bagi tujuan pembangunan sukan tidak penting dalam belanjawan negeri.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peruntukan itu merupakan pelaburan kerajaan negeri bagi memastikan setiap atlet dapat menjalani sesi latihan di fasiliti yang dibangunkan kerajaan Persekutuan dan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diselenggara.

“Pembangunan sukan melibatkan komitmen kerajaan negeri. Kalau kita lihat untuk penglibatan dalam SUKMA (Sukan Malaysia), kalau kerajaan negeri tidak melabur dan tidak hantar atlet, maka acara boleh digugurkan daripada SUKMA sebab tidak cukup penyertaan dari negeri.

“Untuk sukan itu berjaya, ia bukan bermaksud penglibatan MSN (Majlis Sukan Negara) sahaja, tetapi melibatkan penglibatan di peringkat kerajaan negeri,” katanya pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di sini pada Jumaat.

Hannah berkata demikian bagi mengulas pengumuman pengguguran acara futsal wanita dan terjun 10 meter platform wanita dari SUKMA ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak, Ogos ini.

Pada 6 April lepas, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan berkata, kedua-dua acara itu terpaksa digugurkan kerana kurang jumlah penyertaan.

Menurut Hannah, sokongan dan pelaburan daripada kerajaan negeri dalam sektor sukan amat diperlukan bagi membantu KBS menjayakan setiap perancangan bagi memperkasakan sektor sukan serta atlet negara. – Bernama