Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives April 18, 2024

Sedia hadapi apa sahaja di Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memberi peringatan supaya setiap pemain yang terpilih untuk menggalas cabaran di Piala Thomas 2024 perlu sentiasa berdepan setiap kemungkinan.

Berdasarkan beberapa situasi semasa termasuk penyertaan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang masih belum dapat disahkan, Rexy mahu setiap pemain bersedia dan mempunyai fokus sebagai satu pasukan di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

“Pengalaman saya bermula sebagai pemain sehingga jurulatih di Piala Thomas, sesiapa pun jurulatih yang ada dalam pasukan akan memberitahu setiap individu dalam pasukan supaya perlu mampu beraksi dalam apa juga disiplin.

“Oleh itu, sesiapa pun harus bersedia, walaupun anda beraksi dalam acara beregu… sebab itulah ia dipanggil berpasukan.

“Sama seperti bola sepak, jika penjaga gol dilayangkan kad merah, pemain pertahanan atau sesiapa sahaja perlu mengambil tanggungjawab menggantikan tempatnya. Jadi sesiapa pun di dalam pasukan perlu bersedia sepenuhnya,” kata Rexy.

Status Tze Yong dalam pasukan sebelum ini mencetuskan tanda tanya selepas pemain berkenaan perlu menjalani ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) dan bertemu doktor yang merawatnya.

Dalam pada itu, Rexy sudah mempunyai ‘Plan B’ sekiranya Tze Yong tidak dapat disenaraikan, dan berkemungkinan menggantikan pemain berusia 23 tahun itu dengan pemain di ranking lebih rendah berbandingnya.

“Kalau dilihat kepada situasi sekarang, Eogene (Ewe) adalah pilihan utama. Perubahan pemain boleh dilakukan ketika mesyuarat pengurus pasukan nanti,” katanya.-Berita Harian

MPM usul pakai alat pengesan di Paralimpik Paris

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) merancang untuk mengaplikasikan alat pengesan pada tangan kepada seluruh kontinjen negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 sebagai langkah keselamatan.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, Malaysia akan membawa usul langkah berkenaan dalam satu mesyuarat di Paris yang dijadual berlangsung pada Jun ini dan teknologi itu mampu untuk mengesan pergerakan peserta kontinjen negara.

“Di pihak MPM, saya sudah berjumpa dengan dua syarikat yang mungkin akan menyediakan alat pengesan ini untuk memastikan pergerakan atlet kita… dari stadium ke perkampungan sukan.

“Masalah kita adalah pada atlet yang habis cepat (tewas), dan mereka mempunyai banyak masa. Bila banyak masa, mungkin nak berjalan jadi kita tak mahu perkara tak diingini berlaku (ketika di luar perkampungan sukan) dan sebab itu kita tegas dengan perkara ini.

“Ancaman itu boleh datang dari macam-macam perkara. Contohnya seperti Persatuan Keretapi Perancis yang tak nak membawa tren baru-baru ini (mogok). Bas dan juga apa semua termasuklah konflik yang sedang berlaku Israel-Palestin.

“Kadangkala ancaman itu untuk orang lain, tetapi kalau atlet kita ada di tempat itu, bagaimana?,” kata Megat kepada media selepas Majlis Penutup Projek Rimau Emas di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu Megat berkata, keputusan muktamad mengenai perkara berkenaan mungkin hanya akan dapat diketahui sebulan sebelum temasya membuka tirainya, hujung Ogos ini.

“Bayangkan juga kalau apa-apa terjadi… tak balik, telefon tak dapat, data tak ada, tercicir dompet. Bagaimana kita nak tahu di mana atlet kita berada?. Jadi inilah satu idea yang kita nak cuba. Apapun, kita perlu dapatkan kelulusan sama ada kita boleh bawa alat itu di Paris ataupun tidak kerana ada sekatan yang mungkin digunapakai di sana.

“Sebab itulah, pada Jun ini kita akan usulkan dan dapatkan keputusan.

“Kalau boleh lebih 20 atlet kerana sebelum ini di Tokyo 2020, kita ada 23 atlet. Jadi kita sasar lebih daripada itu, 20 atlet… kita nak 20 atlet ke atas. Kalau boleh 25 itu yang kita mahukan. Seluruh kontinjen pula (dijangkakan) dalam 45 termasuk pegawai, doktor dan juga jurulatih,” katanya.-Berita Harian

FAM cari naturalisasi wanita

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan pemain naturalisasi yang berkualiti bagi menguatkan skuad bola sepak wanita kebangsaan pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob menjelaskan pihaknya sedang mencari pemain berbakat dan ia dilihat lebih terarah kepada pemain berdarah campuran atau warisan yang turut termasuk dalam kategori naturalisasi.

Beliau berkata, proses untuk mencari pemain naturalisasi wanita tidak semudah yang disangka dan lebih rumit berbanding pemain lelaki.

“Kita sedang mencari tetapi belum jumpa (pemain naturalisasi terbaik). Malah, kita tiada pencari bakat yang pakar untuk (pemain) wanita dan ia bukan (mudah) seperti mencari pemain lelaki.

“Jadi, andai sesiapa yang ada pencari bakat untuk cari pemain wanita yang kita boleh naturalisasi, boleh ke depan dan usulkan kepada Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman),” katanya.

Untuk rekod, beberapa pemain lelaki yang sudah mendapat status naturalisasi dan pernah mewakili negara termasuk Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula, Liridon Krasniqi, Romel Morales dan Sergio Aguero.

Susulan itu, ada cadangan agar skuad wanita kendalian Soleen Al-Zoubi mendapatkan pemain naturalisasi untuk menaikkan martabat Malayan Tigress.

Selain itu, Suraya mengesahkan saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 akan berlangsung pada Jun hingga November depan membabitkan 10 pasukan.-Berita Harian

Pelan industri sukan di fasa akhir – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini dalam fasa akhir membangunkan Pelan Industri Sukan, yang menggariskan strategi dan inisiatif memberi manfaat kepada sektor industri sukan, sekali gus memberi pulangan semula kepada ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan berkata perkara itu, dimaklumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bil. 1/2024, dipengerusikannya hari ini.

“Kerajaan akan memberi penekanan utama kepada pertumbuhan sukan sebagai sebuah industri bernilai tinggi.

“Berdasarkan Laporan Awal Akaun Satelit Sukan 2022, nilai ditambah kasar industri sukan bertumbuh kepada RM19.6 bilion pada 2022 berbanding RM17.5 bilion pada 2021,” katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat JKPS berperanan untuk menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian inisiatif dan program pembangunan sukan, termasuklah memperkukuhkan kerjasama pelbagai sektor bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat juga bersetuju dengan pelaksanaan kerjasama strategik antara Agensi Anti-doping Malaysia (ADAMAS), KBS dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi Dan Kementerian Kesihatan, dalam Pendidikan Anti-doping.

“Kerjasama strategik ini akan dilaksanakan kepada pada atlet di Institusi Pengajian Tinggi, atlet yang bertanding di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dan Para Sukma Sarawak 2024, serta pelaksanaan pendidikan ‘Kenali Ubat Anda’,” katanya.

Ahmad Zahid berkata semua kementerian perlu menggalas peranan masing-masing dalam menambah baik program, kemudahan dan peralatan sukan, bagi menampung perubahan populasi negara yang dijangka mencapai status negara tua pada 2030.

“Menurut unjuran yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 15 peratus daripada penduduk Malaysia, berumur 60 tahun ke atas pada tahun tersebut,” katanya.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat JKPS ialah satu platform yang diharap dapat menyelesaikan segala isu berkaitan sukan secara berkesan.

“Ia juga dapat diperluas dengan melibatkan semua agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), ke arah memperkasakan pembangunan sukan secara inklusif bagi melahirkan masyarakat yang sihat, aktif dan sejahtera.

“Perancangan dan pelaksanaan inisiatif berkaitan memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan dalam menjayakan hasrat kerajaan, seperti tergaris dalam Dasar Sukan Negara dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030),” katanya. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia