Eain Yow rangkul kejuaraan skuasy Terbuka Jerman

PEMAIN skuasy lelaki nombor satu negara, Ng Eain Yow mencipta sensasi apabila merangkul kejuaraan Siri Jelajah Dunia Persekutuan Skuasy Dunia (PSA) pertamanya setelah menjuarai Terbuka Jerman 2024 di Sportwerk Hamburg pada Isnin.

Pemain berusia 26 tahun dari Kuala Lumpur yang juga pilihan keempat kejohanan menewaskan wakil dari Switzerland, Dimitri Steinmann dalam aksi 66 minit kejuaraan bertaraf gangsa tersebut.

Eain Yow bermula garang apabila memimpin dua set awal apabila menang 12-10, 11-8 ke atas lawan ranking 37 berusia 26 tahun kelahiran Zurich tersebut.

Bagaimanapun set ketiga Steinmann bangkit untuk menang 12-10 sebelum Eain Yow menamatkan cabaran lawan 11-3 dalam pertarungan set keempat.

“Satu kelegaan besar apabila dapat melalui cabaran hari ini. Saya berusaha menampilkan persembahan hebat sepanjang minggu dan gembira berjaya mengharunginya.

“Biarpun begitu perlawanan akhir sentiasa berbeza kerana terdapat tekanan tambahan, apabila orang berbeza menghantar mesej sepanjang hari mengenai kemenangan separuh akhir saya semalam.

“Jadi saya tahu hari ini akan menjadi sukar, terutamanya menentang Dimi Steinmann,” katanya.

Eain Yow melangkah ke perlawanan akhir selepas menjinakkan pilihan utama wakil Wales, Joel Makin dalam aksi 73 minit pada perlawanan separuh akhir.

Pencapaian diraih Eain Yow meneruskan momentum dicipta ratu skuasy negara S Sivasangari yang muncul juara kejohanan Klasik London sebelum ini.

Sivasangari, 24, berstatus nombor 13 dunia muncul juara kejuaraan bertaraf emas itu selepas menyingkirkan cabaran bintang nombor dua dunia dari Mesir, Hania El Hammamy, 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 untuk mengungguli kejohanan bertaraf emas tersebut di Alexandra Palace London.-Sinar Harian