Aniq belum cukup ummph!

PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) akan melihat semula pendekatan lebih efektif bagi meningkatkan prestasi jagoan angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan selepas badang negara tersebut mengesahkan slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis.

Malah presidennya, Datuk Ayub Rahmat menegaskan pencapaian pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 semasa kempen kelayakan terakhir di Phuket, Thailand pada Selasa tidak menggambarkan keupayaan sebenar atlet kelahiran Segamat, Johor tersebut.

Katanya, beliau sememangnya menjangkakan Aniq akan layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 berdasarkan kedudukan ranking dan prestasi semasa atlet tersebut.

“Cumanya kami terkilan persembahan beliau kurang memuaskan tambahan pula gagal capai sasaran angkatan keseluruhan 300 kilogram.

“Agak malang sedikit pencapaian di Phuket tiada peningkatan walaupun kita sebelum ini telah pun mengadakan latihan di luar negara sebelum kejohanan.

“Sebenarnya saya percaya Aniq mampu melakukan lebih baik di Phuket, tapi mungkin faktor puasa, namun itu bukan alasan sebab saya pun puasa sampai ke Phuket,” katanya kepada Sukan Sinar.

Siri kelayakan Piala Dunia Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) di Phuket itu menyaksikan atlet China, Li Fabin unggul dengan angkatan keseluruhan 312kg, wakil Korea Utara, Park Myongjin kedua (301kg) diikuti atlet Filipina, Ceniza John (300kg) manakala Aniq (290kg) kelapan bagi Kategori 61kg.

Bagaimanapun keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke Paris 2024 apabila masih dalam status 10 terbaik ranking IWF.

Aniq pemegang rekod kebangsaan dalam kategori 61kg dengan angkatan 296kg di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.

Sebagai rekod, PABM sebelum ini telah menghantar atlet Aniq, Muhamad Aznil Bidin kecuali Muhammad Erry Hidayat menjalani latihan di Aceh, Indonesia sebagai persiapan mengharungi kelayakan Paris 2024 di Phuket.

Tegas Ayub lagi, prestasi dipamerkan atlet negara dalam kejohanan berdasarkan rekod semasa setiap kali mengadakan siri latihan di luar negara tidak begitu memuaskan badan induk tersebut.

“Saya masih mencari punca jawapan kepada keputusan diraih atlet dalam kejohanan yang boleh sifatkan teruk setiap kali kita buat latihan di luar negara.

“Maka untuk persediaan Aniq ke Sukan Olimpik Paris 2024 kali ini, saya cadang beliau berlatih di Pusat Latihan Angkat Berat Kuala Rompin.

“Biarpun begitu PABM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi melihat pendekatan lebih holistik sama ada latihan luar negara atau Kuala Rompin sebelum ke temasya Paris 2024 pada Ogos depan,” katanya.

Mohd Hafifi Mansor merupakan atlet angkat berat terakhir negara layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 dalam Kategori 69kg.

Aniq menyertai lima lagi atlet lain yang layak secara merit ke Paris 2024 iaitu Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya).-Sinar Harian