Sukan golf kini untuk semua lapisan masyarakat

PUTRAJAYA: Sukan golf kini boleh diakses oleh semua golongan masyarakat dengan kewujudan simulasi golf yang mampu memberikan ruang kepada peminat sukan berkenaan terutama golongan muda merasai pengalaman bermain secara simulasi.

Terbaru, Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS) yang berada di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama iDataRaya Sdn Bhd melancarkan Simulator Golf yang pertama di Menara KBS dan disaksikan oleh Menterinya, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri, Adam Adli Abd Halim.

Menariknya, Simulator Golf yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat berdekatan ini disediakan secara percuma selama enam bulan pertama di sini sebelum dikenakan caj bayaran berpatutan.

“Simulator Golf ini adalah sebuah projek di bawah PPGS dan yang pertama di Menara KBS. Ia bertujuan untuk menarik minat belia di sekitar Putrajaya untuk mencuba dan mempelajari sukan golf dengan harga yang rendah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PPGS, Megat Mohd Shahrin Mohamed Hamdan, hari ini.

“Projek ini selari dengan inisiatif Sukan untuk Semua, dengan memberikan akses kepada pejawat kementerian-kementerian dan rakyat umum untuk mencuba sukan golf. Projek simulator Golf ini juga selari dengan inisiatif Rakan Muda iaitu Rakan Aktif dan Rakan Digital yang sedang giat diketengahkan oleh pihak kementerian.

“Harapan saya adalah supaya stigma sukan golf adalah sukan elitist di negara ini dapat diketepikan dengan adanya projek seperti ini di bawah PPGS dan KBS dengan bantuan pihak swasta.”

Dalam pada itu, PPGS dan iDataRaya juga akan menjalankan program bersama pelajar di sekolah di sekitar Putrajaya untuk mereka mencuba sukan golf bagi menggalakkan mereka bersukan dan memupuk minat sukan golf di kalangan pelajar.-Berita Harian