Hasrat Arif-Roy King tidak kesampaian

Kuala Lumpur: Beregu muda negara Arif Junaidi-Yap Roy King terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Masters Sepanyol di Madrid apabila tumpas kepada beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di pentas final sebentar tadi.

Arif-Roy King bagaimanapun memberi tentangan sengit namun akhirnya terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-17, 19-21 dalam tempoh 52 minit.

Dalam perlawanan penuh mendebarkan itu, Arif-Roy King menunjukkan kematangan dalam permainan namun kesilapan di empat mata akhir ketika kedudukan terikat 17 sama membuatkan mereka terpaksa akur akan kekalahan itu apabila tewas di set penentuan 19-21.

Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan membabitkan kedua-dua beregu itu kini berpihak kepada beregu Indonesia yang menghuni ranking ke-34 dunia itu yang menang dua dari tiga pertemuan sebelum ini

Sebagai rekod, pemenang acara beregu pada kejohanan Jelajah Dunia Super 300 itu akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM78,419) manakala juara perseorangan bakal meraih AS$15,750 (RM74,416).-Harian Metro