Program khas buat Speedy Tigers

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh akan merangka program khas buat pemain yang menyertai kem latihan pasukan kebangsaan bermula bulan depan.

Sarjit berkata, program khas itu penting bagi memastikan pemain sentiasa berada pada tahap terbaik sekali gus mengelak mereka daripada hilang sentuhan.

Katanya, setiap kali barisan pemain tidak menjalani latihan intensif akan menyebabkan kemampuan fizikal mereka merudum seterusnya perlu bermula daripada awal untuk memperoleh kembali kekuatan masing-masing.

“Akan ada program latihan khas untuk mereka. Bila-bila masa kita perlukan, mereka sudah bersedia.

“Masalah kami ialah apabila mereka pulang ke rumah, mungkin tidak berlatih dan apabila kami memanggil pemain terbabit secara fizikal tidak berada dalam kedudukan yang baik untuk beraksi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, barisan kejurulatihan juga akan cuba membentuk barisan pemain yang mampu beraksi di pelbagai posisi dalam pasukan.

“Kami mahu pemain yang boleh bermain di lebih daripada satu posisi. Itulah keperluan dalam hoki moden hari ini.

“Jika anda seorang pemain tengah, anda sangat mudah alih untuk bermain di mana-mana posisi lain juga. Dan kami mempunyai pemain yang memenuhi keperluan ini,” katanya.

Sarjit sebelum ini memangggil seramai 46 pemain untuk menyertai latihan fasa pertama dan dibahagikan kepada tiga pasukan berbeza seterusnya akan beraksi membabitkan lapan perlawanan.

Secara keseluruhan mereka akan bermain 480 minit dengan pemain akan mempunyai masa bermain minimum 320 minit.-Berita Harian