Azizulhasni, Shah Firdaus lalui latihan intensiti tinggi

KUALA LUMPUR: Dua pelumba sandaran negara di Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom ketika ini sedang mengharungi latihan berintensiti tinggi di Melbourne, Australia dalam persiapan menghadapi temasya itu.

Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, berkata program latihan berkenaan akan berlangsung selama empat minggu dan sudah pun bermula sejak seminggu lalu.

Katanya, Azizulhasni dan Shah Firdaus tidak akan menyertai siri akhir Piala Negara-Negara UCI yang akan berlangsung di Milton, Kanada dari 12 hingga 14 April ini bagi memberikan tumpuan terhadap latihan mereka.

Selain Azizulhasni dan Shah Firdaus, mereka juga disertai Muhamad Ridwan Sahrom dan pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam program latihan di Melbourne.

“Saya hanya akan membawa Izzah berlumba di Milton (Piala Negara-Negara UCI).

“Azizulhasni, Shah Firdaus, Ridwan dan Izzah ketika ini sedang menjalani latihan berintensiti tinggi di Melbourne selama empat minggu.

“Selepas latihan di Melbourne, mereka akan pulang ke Malaysia bagi menjalani satu lagi fasa latihan sebelum ke Eropah bagi melakukan persiapan terakhir sebelum memulakan cabaran di Paris,” kata Beasley kepada BH Sukan.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman sebelum ini turut tidak menyertai siri dua Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong, dua minggu lalu kerana mahu memberikan tumpuan terhadap latihan.

Bagaimanapun, pelumba berusia 36 itu yang menghidap Perikarditis berjaya memenangi pingat emas acara keirin dan berada di kedudukan keempat saingan pecut individu pada siri pertama Piala Negara-Negara di Adelaide, bulan lalu.

Shah Firdaus pula yang mengalami kemalangan sebelum perlumbaan di Adelaide masih bergelut untuk kembali pada tahap prestasi terbaiknya apabila terkandas di pusingan pertama keirin dan pecut ketika Piala Negara-Negara di Hong Kong.-Berita Harian