Hamidin jangka 29 atlet ke Paris 2024

Kuala Lumpur: Malaysia dijangka akan menghantar 29 atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Julai depan selepas mengambil kira beberapa sukan lain akan turut layak secara rasmi ke temasya itu.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, meskipun ketika ini terdapat beberapa sukan belum mengeluarkan pengesahan rasmi berkaitan atlet akan layak ke sukan terbesar dunia itu, mereka sudah melakukan congakan ke atas atlet yang mempunyai potensi besar untuk layak.

Beliau berkata, ketika ini hanya lima atlet layak secara rasmi iaitu Bertrand Rhodict Lises dari sukan akuatik – terjun, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong Guanjie (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal – jalan raya).

Beliau menyedari jumlah atlet akan ke Paris 2024 mungkin sedikit kecil dan peluang Malaysia untuk menang emas mungkin sedikit terkesan, tetapi dia tetap optimis kemampuan atlet negara berdasarkan prestasi semasa kerana akhirnya semua itu akan bergantung kepada rezeki.

“Ada beberapa sukan yang belum tamat sesi kelayakan seperti badminton, tetapi dari segi kutipan mata mereka sudah layak. Antaranya Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita).

“Sama seperti golf dan beberapa sukan lain, tetapi sukan berkenaan belum keluarkan keputusan rasmi.

“Kalau tanya saya jujur, ini semua rezeki, kalau dulu nak kira rezeki, di Olimpik Rio 2016 Brazil dulu patut sudah rezeki menang emas.

“Hanya beberapa saat sahaja badminton masa tu nak menang emas. Kita ada potensi untuk dua tiga atlet untuk dapatkan emas. Kita doa dan kita perlu bekerja kuat.

“Jadi, berdasarkan potensi tetap ada dan berdasarkan fakta, Datuk Azizulhasni Awang dan Aaron-Wooi Yik boleh menyumbang (emas).

“Saya tetap dengan keyakinan sehingga kejohanan Paris 2024 habis. Sekarang masih belum rezeki kita dan harap kita rezeki di Paris nanti kita akan dapat,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan ke Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Hadir sama, Timbalan CDM ke Paris 2024, Datuk Nicol Ann David dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Hamidin menyatakan senarai 29 atlet ke Paris 2024 itu tidak termasuk pasukan bola sepak kerana beliau menyedari secara realistik perlu bersaing dengan beberapa negara yang dilihat mempunyai peluang cukup cerah.

“Berdasarkan kiraan saya sebagai Presiden FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), pasukan bola sepak tiada dalam sasaran layak ke Paris 2024. Kalau layak Bawah 23 Tahun (B23) sudah dikira satu pencapaian yang baik.

“Apa yang penting ketika ini, saya mengharapkan mereka memberi fokus untuk mencatat keputusan terbaik dan layak ke pusingan kedua terlebih dahulu (di Piala Asia B-23 di Qatar),” katanya.-Harian Metro