Pearly-Thinaah kandas di suku akhir Seluruh England

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terlepas peluang terbaik untuk mara ke separuh akhir Seluruh England buat kali pertama selepas perjuangan mereka terhenti di suku akhir, hari ini.

Pasangan ranking ke-15 dunia terpaksa akur apabila tewas di tangan beregu ke-11 dunia dari Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama 73 minit di Utilita Arena Birmingham.

Pearly-Thinaah bermula garang apabila memenangi set pertama 21-11 tetapi lawan mereka berjaya bangkit di set kedua untuk menang 21-18 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Aksi set penentuan berlangsung sengit tetapi Pearly-Thinaah akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 18-21 sekali gus meleburkan impian mereka untuk melangkah ke separuh akhir.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua berturut-turut Pearly-Thinaah tewas di tangan Miyaura-Sakuramoto selepas turut mengalami nasib sama ketika suku akhir Masters Kumamoto di Jepun pada November tahun lalu.

Keputusan di Seluruh England kali ini menyaksikan Pearly-Thinaah menyamai pencapaian terbaik mereka sebelum ini apabila dua kali mara ke suku akhir pada edisi 2021 dan 2022.

“Sudah tentu kami kecewa. Kami melakukan beberapa kesilapan ketika mata penting dalam perlawanan dan ia memberi kesan kepada kami.

“Bagaimanapun, berbanding prestasi dalam beberapa kejohanan terakhir sebelum ini, ada peningkatan dalam permainan kami kali ini dan kami percaya kami berada di landasan tepat.

“Masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan kami berharap boleh terus meningkatkan lagi prestasi kami,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).-Berita Harian