Azeem hanya sertai satu kejohanan pada Ramadan

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi akan memulakan pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024, esok.

Azeem akan menyertai kejohanan luar dewan pertamanya musim ini apabila beraksi di Kejohanan Olahraga Yellow Jacket Invite di Georgia Tech, Atlanta, Amerika Syarikat.

Penuntut Universiti Auburn di Alabama itu berkata dia mahu memanfaatkan sebaiknya peluang beraksi di kejohanan berkenaan yang menjadi satu-satunya kejohanan yang akan disertainya sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, dia akan kembali menyertai kejohanan selepas Hari Raya Aidilfitri pada 10 April depan.

“Perancangan dengan jurulatih Ken (Harnden) sekarang adalah sertai satu kejohanan pada awal Ramadan kerana kondisi badan saya masih segar.

“Selepas itu saya akan berehat kerana mahu menghormati sepenuhnya bulan Ramadan. Jangan salah faham, saya cuma berehat daripada kejohanan, tetapi tetap berlatih di waktu pagi.

“Saya sudah biasa, lagipun ini tahun ketiga saya tidak dapat berpuasa di Malaysia, apatah lagi nak beraya dengan keluarga. Ini pengorbanan demi menggapai impian saya ke Olimpik,” kata pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) itu.

Walaupun terlepas empat kejohanan pada bulan Ramadan ini, tetapi pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu masih mempunyai tujuh kejohanan untuk disertai termasuk Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2024 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun depan.

“Saya akan balik Malaysia untuk sertai kejohanan kebangsaan. Saya perlu menang kerana dapat banyak mata sebagai juara kebangsaan untuk membantu kedudukan ranking dunia.

“Katakan saya masih belum layak ke Olimpik Paris, kejohanan itu akan menjadi peluang terakhir saya. Seandainya layak, saya akan pulang ke AS dan seterusnya ke Jerman untuk kem latihan sebelum terus ke Paris nanti,” katanya.-Berita Harian