Arif Affifudin intai Kejohanan Karate Dunia

KUALA LUMPUR: Selepas memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, jaguh karate negara, Muhammad Arif Affifudin Ab Malik kini mengintai peluang untuk melayakkan diri kali pertama ke Kejohanan Karate Dunia tahun depan.

Atlet berusia 25 tahun itu, berkata misi untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia bermula di kejohanan K1 Premier League yang berlangsung di Turkiye bermula hari ini.

Katanya, kejohanan selama tiga hari itu menawarkan mata kelayakan ke Kejohanan Dunia dan pada masa yang sama dia juga ketika ini sedang berusaha bagi melonjakkan kedudukan ranking dunianya.

“Tahun ini tidak ada kejohanan besar tetapi penting untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia tahun hadapan.

“Ketika ini, saya berada di ranking ke-44 dunia dan perlu berada dalam Top 32 untuk menyertai kejohanan-kejohanan besar,” kata Arif.

Mengakui tidak mahu terlepas sesi latihan sepanjang bulan Ramadan, Arif memberitahu, dia ada berbincang mengenai rakan sepasukan bagi membolehkan mereka menjalani latihan pada sebelah malam.

“Di bawah kendalian jurulatih Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy (Mesir), banyak peningkatan tetapi masih banyak ruang untuk diperbaiki terutamanya teknik.

“Jadi sebelum Ramadan lagi, saya sudah berbincang dengan jurulatih dan mendapatkan persetujuan rakan-rakan, kerana dalam karate kebangsaan, hanya tiga orang beragama Islam, majoriti berbangsa India.

“Saya perlu mendapatkan persetujuan rakan-rakan untuk sama-sama menjalani latihan di waktu malam,” kata Arif.

Selepas kejohanan di Turkiye, skuad karate negara akan bersaing di K1 Premier League di Kaherah, Mesir pada 19 hingga 21 April.

Sejurus selepas itu, Arif bersama-sama rakannya akan mengambil bahagian pada Kejohanan Karate Asia Tenggara (SeaKAF) yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, 24 hingga 26 April.-Berita Harian