Pemain takraw jalani latihan ala komando

Kuala Lumpur: Kem sepak takraw negara terus menagih sentuhan anggota 69 Komando (VAT 69) dalam usaha menanam kekuatan mental pemain dan memperkukuh semangat berpasukan sebagai persediaan menggempur Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, Mei ini.

Walaupun berlangsung dalam masa singkat iaitu selama tiga hari (9-11 Mac) sahaja, namun latihan itu padat dengan pengisian aktiviti lasak yang memerlukan pemikiran kritis 27 atlet untuk diaplikasi dalam kejohanan disertai mereka kelak.

Berkongsi pengalaman di Markas 69 Komando, Ulu Kinta, Perak, tekong kebangsaan Muhammad Syahir Mohd Rosdi mengakui pengalaman itu tidak boleh dijual beli terutamanya apabila program berkenaan bukan sewenang-wenangnya disertai orang awam.

Malah atlet berusia 28 tahun itu mengakui beliau tidak pernah bosan menyertai agenda dirangka Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) apabila pernah melalui latihan sama pada 2018 bersama Pasukan Khas Udara (Paskau) dan VAT 69 pada tahun lepas.

“Kita dapat rasai latihan fizikal berbeza berbanding di Bukit Jalil. Kami sahut (apa jua) cabaran diberikan jurulatih komando dan apa diberikan (program) PSM dan Majlis Sukan Negara (MSN) kita akan buat yang terbaik.

“(Terutamanya) apabila kali ini kita jadi tuan rumah jadi MSN mengharapkan sesuatu daripada pemain ini. Namun kami pasti akan buat yang terbaik,” katanya.

Menyentuh mengenai persiapan ke kejohanan berprestij itu, Muhammad Syahir berkata beliau akan dihantar menyertai Piala Princess di Bangkok, Thailand pada 25 Mac ini untuk mendapatkan momentum sebelum ke Piala Dunia 2024.

Beliau berkata kesemua persiapan berjalan lancar di bawah kendalian Ahmad Jais Baharun selain dua jurulatih dari Thailand, Poonsak Permsap dan Seksan Tubtong.

Pada kejohanan dunia di sini, sebanyak 21 negara mengesahkan penyertaan dengan 12 pasukan bersaing bagi kategori Premier dan sembilan pasukan bagi kategori Divisyen 1.-Harian Metro