Aaliyah raih gangsa di Melbourne

KUALA LUMPUR: Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah meneruskan kecemerlangannya di Australia apabila meraih pingat gangsa keseluruhan wanita pada kejohanan Moomba Masters 2024 di Melbourne semalam.

Atlet berusia 20 tahun yang membuat penampilan ke-11 pada kejohanan berkenaan mengumpul keseluruhan 2,215.25 mata dalam pertandingan yang berlangsung di Sungai Yarra.

Aliaksandra Danisheuskaya dari Amerika Syarikat memenangi pingat emas dengan 2,911.11 mata diikuti atlet New Zealand, Sade Ferguson yang mengumpul 2,477.89 mata.

Bagaimanapun, Aaliyah terlepas podium dalam acara jump terbuka wanita apabila menamatkan saingan di tempat kelima selepas melakukan lompatan 44.5 meter dan keenam dalam acara tricks dengan 5,030 mata.

“Saya amat teruja dapat tempat ketiga keseluruhan. Realitinya untuk saya berada di podium acara tricks atau jump boleh berlaku jika melakukan latihan intensif. Tetapi saya tidak dapat melakukan latihan sebanyak itu enam bulan lalu kerana pelajaran dan peperiksaan di universiti.

“Saya tetap akan terus melakukan yang terbaik dan menyasarkan untuk menjadi antara atlet luncur air peringkat teratas dunia dalam masa terdekat,” katanya. – BERNAMA