Sivasangari nyaris kejutkan juara bertahan

KUALA LUMPUR: Hajat pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari untuk mara ke final Kejohanan Cleveland tidak kesampaian apabila tewas di tangan lawan dari England, Georgina Kennedy pada aksi separuh akhir, malam tadi.

Sivasangari yang menduduki ranking ke-16 dunia bagaimanapun menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit selepas ketinggalan dua set sebelum tewas 11-13, 8-11, 14-12, 11-6, 9-11 dalam aksi selama 64 minit.

Kennedy yang berada di kedudukan keenam dunia mengakui Sivasangari sebagai lawan yang sukar namun pada akhirnya mampu menarik nafas lega dalam misinya mempertahankan gelaran.

“Ia sesuatu yang sukar. Selepas perlawanan saya bercakap dengan Siva yang perlawanan ini tiada siapa antara kami harus kalah. Saya sangat lega dan bertuah kerana berjaya menemui mata kemenangan.

“Ketika saya mendahului 2-0, saya tidak berasa selesa – saya mempunyai perasaan yang dia (Sivasangari) akan kembali bangkit dan itu pastinya kamu sendiri tak mahu mendengarnya.

“Saya berpura-pura kepada diri sendiri yang saya sentiasa positif tetapi ia tetap bermain di fikiran saya. Saya cuba bertahan dan pukulannya luar biasa. Pada set kelima, saya kata kepada diri sendiri untuk tingkatkan keamatan, berjuang dalam setiap mata dan mengambil inisiatif yang ada.

“Ini kerana sekiranya saya tidak berbuat begitu, dia akan membuat sesuatu dan saya juga agak pasif pada set ketiga dan keempat. Saya lega dan memberi kredit kepadanya – mungkin saya atau dia berada di sini pada ketika ini (di final),” kata Kennedy.-Berita Harian