Malaysia dapat banyak manfaat anjur Sukan Komanwel 2026

Kuala Lumpur: Bekas legenda skuad hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menganggap Malaysia memperoleh peluang terbaik sekiranya menjadi tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Jelasnya, meskipun tempoh untuk menganjurkannya agak singkat, namun beliau berasakan Malaysia memperoleh banyak manfaat jika mengambil keputusan berani menganjurkan temasya sukan itu selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 1998, di mana skuad hoki negara diketuai Mirnawan ketika itu meraih pingat perak.

“Saya melihat dalam aspek industri sukan. Kalau kita menjadi penganjur Sukan Komanwel, sudah pasti kerajaan mempunyai perancangan begitu teliti untuk semua sukan yang terbabit.

“Ia juga baik untuk industri pelancongan sukan. Soal fasiliti bagi saya tiada masalah, kita sudah ada semuanya termasuk hotel yang boleh menampung kehadiran orang ramai.

“Untuk hanya tinggal dua tahun lagi, Persekutuan Sukan Komanwel tidak boleh letak jangkaan yang tinggi kepada Malaysia sepertimana negara lain melakukan persediaan antara enam hingga lapan tahun,” katanya.

Beliau ditemui selepas saingan Piala Legenda Hoki 2024 di Stadium Tun Razak, hari ini yang menyaksikan penyertaan ramai legenda hoki negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi laporan semalam berkata, pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri, bagi membuat sebarang keputusan.

Nasib Sukan Komanwel 2026 masih menjadi tanda tanya selepas negeri Victoria di Australia, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu, menarik diri pada Julai tahun lalu kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 sehingga 29 Mac 2026.

Dari 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.-Harian Metro