Faizal buat ‘pusingan U’ demi Sarjit

KUALA LUMPUR: Selain kita berjuang untuk negara, kita juga perlu bermain untuk jurulatih!

Itu kata penyerang hoki negara, Faizal Saari mengenai pengendali baharu skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh ketika ditanya sekiranya dia bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang.

Faizal yang sebelum ini memberi bayangan mahu bersara berkata, dia bersedia untuk membuat ‘pusingan U’ sekiranya namanya dipanggil oleh Sarjit untuk menyertai Speedy Tigers.

“Saya ada berhubung dengan beliau. Saya tak ada masalah dan akan teruskan (dalam skuad kebangsaan) sekiranya kudrat saya diperlukan,” kata Faizal yang pernah berada di bawah bimbingan Sarjit pada 2014, 2015 dan 2016 dalam pasukan Terengganu Hockey Team (THT).

“Saya harap nama terpilih dan dapat mewakili Malaysia. Memang sebelum ini saya memberi bayangan untuk bersara tetapi apabila beliau dilantik, saya berfikir sebaliknya dan beliau juga adalah salah seorang jurulatih yang saya gemari.

“Bagi saya, selain kita berjuang untuk Malaysia, kita juga kena main untuk jurulatih. Beliau pernah memberi kepercayaan kepada saya dan saya kena melakukan seperti diharapkan dalam padang.”

Pada 3 Mac lalu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan perlantikan Sarjit sebagai ketua jurulatih yang baharu bagi menggantikan tempat Arul Selvaraj dengan kontrak dua tahun.

Bekas pemain skuad negara itu pernah menerajui pasukan kebangsaan dari Januari 2007 hingga Disember 2008 selain turut melatih pasukan remaja kebangsaan dari 2004 hingga 2006.

Sarjit bakal menggalas tugas pertama di Piala Sultan Azlan Shah yang bermula 4 Mei depan.-Berita Harian