Belum terlewat Aaron, Wooi Yik perbaiki kesilapan

Kuala Lumpur: Masih ada masa untuk beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memperbaiki prestasi mereka selepas diletakkan harapan besar untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bekas legenda beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, beliau melihat kunci kepada kejayaan Aaron-Wooi Yik adalah terletak di tangan Aaron.

“Mereka perlu mempamer aksi konsisten serta mempelbagaikan rentak permainan. Saya lihat corak permainan mereka setaraf dengan beregu utama dunia yang lain.

“Cuma apabila Aaron melakukan kesilapan, mereka mula berdepan tekanan dan bermula daripada situ, corak permainan mereka mula tidak menjadi.

“Peluang beregu kita ini di Olimpik sangat bagus berbanding wakil negara yang lain. Jadi mereka perlu segera memperbaiki prestasi,” katanya ketika dihubungi.

Selepas tersingkir di suku akhir Terbuka Perancis, Aaaron-Wooi Yik kini mengalihkan fokus mereka kepada saingan Seluruh England yang bermula Selasa ini.

Mengulas mengenai pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia yang juga disandarkan meraih pingat di Paris, Jalani berkata, seperti Aaron-Wooi Yik, tidak ada kurangnya dengan corak pemainan pemain yang menduduki ranking ke-10 dunia itu.

“Cuma, apabila beraksi dalam tempoh yang panjang, dia mula terdesak untuk menamatkan perlawanan dan mengambil keputusan tergesa-gesa.

“Bagi saya, Zii Jia sebenarnya tewas dengan dirinya sendiri. Dia banyak melakukan kesilapan apabila berdepan dengan tekanan sepertimana ketika di Terbuka Perancis.

“Dia perlu perbaiki tahap kecergasaannya untuk persediaan beraksi dalam tempoh yang panjang,” katanya.-Harian Metro