Sekitar 15,000 atlet sertai SUKMA Sarawak, kukuhkan perpaduan – Abang Johari

KUCHING, 9 Mac: Penyertaan semua negeri termasuk kontinjen dari Brunei Darussalam yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-21 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada bulan Ogos tahun ini dilihat mampu membawa bersama semangat kebangsaan yang mengukuhkan perpaduan negara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dianggarkan sekitar 15,000 atlet termasuk pegawai dari Brunei Darussalam mengambil bahagian dalam temasya itu.

“Melalui pencapaian dan kejayaan di dalam gelanggang sukan, kita tidak hanya mengejar kecemerlangan tetapi juga memupuk semangat kebersamaan yang meleburkan perbezaan dan mengukuhkan jalinan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya kertika berucap pada Majlis Pelancaran SUKMA dan Para SUKMA Sarawak Edisi Ke-21 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakilinya di majlis itu.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu mewakili Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Chef De Mission Para Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam.

Abang Johari berkata, SUKMA pada tahun ini melibatkan 37 sukan bersamaan dengan 490 acara keseluruhan dan ia akan dikelola di sembilan bahagian di Sarawak iaitu Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Betong, Sri Aman, Serian, Samarahan dan Kuching.

“Kluster sukan yang terlibat untuk Kuching adalah 25 sukan, Miri enam sukan, masing-masing tiga sukan di Samarahan,Sibu, Mukah dan Bintulu manakala masing-masing satu sukan Serian, Sri Aman dan Betong.

“Tujuan temasya SUKMA Ke-21 diadakan di sembilan bahagian adalah supaya masyarakat di luar dari bandaraya Kuching dapat menikmati limpahan ekonomi dan juga memberi peluang kepada atlet-atlet menikmati kekayaan budaya masyarakat di Sarawak yang berbilang kaum,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abang Johari menaruh harapan tinggi kepada atlet Sarawak untuk berusaha mencapai prestasi cemerlang dengan penuh semangat kesukanan dan dedikasi.

Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah temasya SUKMA adalah pada 2016 dan 1990. – TVS