Pasukan silat serius bantu kontinjen Sarawak muncul juara SUKMA 2024

SIBU: Pasukan silat dilihat benar-benar serius untuk membantu kontinjen Sarawak muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 apabila telah memulakan sesi latihan sejak Februari lalu.

Tanpa membuang masa, mereka melakukan persiapan awal biarpun saingan tertinggi kebangsaan itu hanya akan berlangsung pada Ogos depan.

Ketua Jurulatih Fadzil Jamain berkata, seramai 50 pesilat dari 14 perguruan silat seluruh Sarawak termasuk bekas atlet silat pada Sukan Sarawak (SUKSAR) yang lepas telah menjalani sesi latihan di Kem Belia Kemuyang di sini.

“Kita telah bermula 15 Februari lepas dan pada masa ini kita sedang membuat kem latih pilih bagi melengkapkan atlet kita menjadi 34 pesilat.

“Ini bermaksud seramai 35 pesilat akan dihantar pada cabaran SUKMA akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis prapelancaran Kem Latihan Pasukan Pencak Silat Sarawak SUKMA 2024 di Kem Belia Kemuyang di sini, pada Jumaat.

Fadzil menambah, sesi latihan turut dibantu oleh jurulatih-jurulatih berpengalaman yang telah mengikuti pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Di samping itu katanya, mereka juga sedang merancang untuk mendedahkan pasukan silat negeri dengan aksi bermutu tinggi sebagai persediaan ke saingan itu.

Katanya, ini termasuk menghantar pesilat mereka mengikuti kejohanan di dalam dan luar negara.

“Latihan ini dijalankan secara berfasa iaitu selama tujuh bulan, di mana melibatkan fasa satu, dua dan tiga sebelum SUKMA bermula.

“Pada fasa ketiga, kita akan memberi pendedahan dengan menghantar mereka mengikuti kejohanan di Semenanjung dan Thailand untuk melihat tahap kemampuan setelah menjalani latihan di kem di sini.

“Pada masa yang sama, kita juga mungkin akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan (silat) yang lain,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Premier Sarawak Syed Azmee Wan Junaidi dalam ucapannya mengingatkan pesilat agar tidak mudah putus asa sepanjang menjalani latihan .

“Jangan pernah ada sikap putus asa dan sombong kerana kamu akan menyesal kemudian hari apabila mempunyai sikap-sikap sedemikian.

“Kerana kamu tidak akan merasa kemanisan latihan ataupun berada dalam satu kumpulan yang memegang amanah dan tanggungjawab yang dipikul pada masa ini,” katanya.

Hadir sama Pengurus Pasukan Silat SUKMA Sarawak Dato Mohamad Yusnar Matalie.
 -Utusan Borneo