Nur Aiman pertahan gelaran

Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan gelaran juara kebangsaan dalam acara ujian masa elit lelaki hari ini.

Lebih menggembirakan ia gelaran kelima buat pelumba kelahiran Johor itu yang merekodkan masa 55 minit 0.446 saat membabitkan jarak laluan sejauh 30.3 kilometer (km).

Aiman berkata, ia kejayaan bermakna buat dirinya dan sememangnya meletakkan sasaran untuk bergelar juara sekali lagi di Kejohanan Berbasikal Leburaya Kebangsaan tahun ini.

“Sangat gembira dengan kemenangan ini kerana dapat kekalkan gelaran juara kebangsaan buat lima kali. Saya cuba untuk fokus kepada kekuatan, pernafasan dan menjaga laluan supaya saya dapat menguasai perlumbaan,” katanya.

Bermula di Bangunan Stor JKR, Kuala Kubu Bharu ini, Aiman diberi tentangan sengit oleh lawan dari pasukan Malaysia Pro Cycling A (MPC), Muhammad Zawawi Azman yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas merekodkan masa 56:34.436s.

Manakala tempat ketiga milik pelumba Kelapa Gading Bikers Jakarta, Daniel Purwanto 58:28.089s.

Sementara itu dalam saingan ujian masa perseorangan lelaki bawah 23 tahun, emas dimenangi pelumba Terengganu A, Kee Zhe Yie dengan masa 55:33.411s, mengatasi Tsen Ren Bao, dari Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur dan Muhammad Syawal Mazlin (MPC) ketiga._Harian Metro