Skuad recurve buru tiket ke Paris di Antalya

KUALA LUMPUR: Empat pemanah lelaki negara mahu memastikan perjalanan mereka ke Antalya, Turkiye pada Jun depan berakhir dengan kejayaan mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Antalya akan menjadi tuan rumah Kejohanan Kelayakan Akhir Memanah Berpasukan dan Individu bagi Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 15 dan 16 Jun.

Ketika ini, skuad negara yang dibarisi kuartet pemanah negara yang dibarisi Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli, Muhammad Syafiq Busthamin, Muhammad Danish Amsyar Norazlan dan Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi mengintai peluang untuk layak dalam acara berpasukan recurve lelaki.

Zarif yang juga pemanah paling berpengalaman dalam pasukan, berkata peluang masih terbuka untuk mereka layak ke Paris.

Katanya, dalam acara berpasukan, pemanah perlu mempunyai keserasian dan kerjasama yang baik dan itulah cabaran perlu ditanganinya, ketika dia hanya biasa bersama Firdaus ketika menyertai Sukan SEA di Hanoi 2021.

“Ketiga-tiga pemanah lain boleh dianggap baharu, tetapi saya pernah bersama dengan Firdaus di Sukan SEA Hanoi.

“Setiap kali berlatih, saya sentiasa berbincang dengan jurulatih, bagaimana dan apa tindakan diperlukan, begitu juga setiap kali kami mahu ke kejohanan.

“Setiap kekurangan dalam pasukan baik dari segi individu kami akan berbincang bersama jurulatih,” kata Zarif Syahiir.

Menurut Zarif, sebelum ke Antalya, mereka akan mengambil bahagian pada dua Piala Dunia iaitu Stage 1 di Shanghai, China, pada 23 hingga 28 April dan Stage 2 di Yecheon, Korea Selatan pada 21-26 Mei sebelum ke Stage 3 di Antalya, yang menjadi pusingan kelayakan ke Olimpik Paris.

“Di China dan Korea menjadi pemanas badan dan kami perlu berada di kedudukan pingat, nombor 1, 2 atau tiga di Antalya untuk melayakkan pasukan ke Paris.

“Di Antalya, peluang bagi acara berpasukan lebih cerah berbanding individu, jadi kami perlu melakukan persiapan sebaiknya,” katanya.-Berita Harian