‘Bungkus’ awal tapi Pearly-Thinaah pamer peningkatan prestasi

KUALA LUMPUR: Di sebalik kekalahan pada pusingan pertama Terbuka Perancis awal pagi tadi, ada petanda positif yang ditunjukkan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah.

Pasangan negara itu gagal dalam usaha untuk mengulangi pencapaian dua tahun lalu apabila tewas di tangan beregu nombor lima dunia dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-18, 16-21, 12-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.

Pada edisi 2022, Pearly-Thinaah mencipta sensasi apabila berjaya muncul juara Terbuka Perancis yang bertaraf Super 750 sekali gus menjadi pencapaian terbaik mereka dalam saingan Jelajah Dunia BWF.

Tahun lalu, mereka tidak dapat mempertahankan kejuaraan selepas Pearly mengalami kecederaan belakang.

Kekalahan di pusingan pertama Terbuka Perancis kali ini adalah yang ketiga buat Pearly-Thinaah dalam lima kejohanan Jelajah Dunia terakhir mereka.

Atas kertas, prestasi tidak menentu Pearly-Thinaah ketika ini pastinya menimbulkan kebimbangan ketika hanya berbaki empat bulan sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 bermula.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan Pearly-Thinaah menunjukkan peningkatan prestasi dan menampilkan permainan yang lebih baik menentang salah satu beregu terbaik China.

“Pearly-Thinaah secara perlahan-lahan kembali mendapat keyakinan mereka selepas menurun susulan kecederaan yang membelenggu Pearly sebelum ini.

“Pergerakan mereka di dalam gelanggang juga bertambah baik dan mereka bermain kembali bermain secara agresif.

“Mereka sepatutnya mampu melakukan persiapan yang lebih baik jika tidak kerana Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang mana mereka hilang dua minggu tempoh latihan.

“Kami akan terus membantu mereka. Mereka boleh lakukan yang lebih baik lagi berbanding sekarang dan semuanya kini adalah mengenai untuk mendapatkan semula keyakinan mereka,” kata Rexy.

Pearly-Thinaah selepas ini akan menyertai saingan Seluruh England dari 12 hingga 17 Mac ini dan akan membuka tirai kempen menentang rakan senegara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.

Mereka bagaimanapun berdepan ujian getir sekiranya layak ke pusingan kedua apabila diramal bertemu pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.-Berita Harian