Tang Jie-Ee Wei ke pusingan kedua Terbuka Perancis

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan apabila melangkah ke pusingan kedua Terbuka Perancis, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan nombor sembilan dunia berkenaan menundukkan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-15, 21-18 pada aksi pusingan pertama di Arena Porte de la Chapelle di Paris.

Bagi Ee Wei, kemenangan itu adalah satu permulaan yang baik buat mereka tetapi sedar bakal berdepan ujian getir apabila dijadual bertemu pilihan keempat dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

“Kemenangan ini hanyalah permulaan untuk kami. Kami akan bertemu beregu China untuk pusingan seterusnya, kami mahu cuba menewaskan mereka

“Saya percaya dengan pasangan dan jurulatih saya. Kami akan berikan yang terbaik di dalam gelanggang esok,” katanya.

Sementara itu, Tang Jie ketika mengulas mengenai pertemuan dengan Kian Meng-Pei Jing mengakui ia sentiasa sukar apabila perlu berdepan dengan rakan senegara tetapi mereka kekal fokus bagi mencatat kemenangan.

“Ia sentiasa sukar bertemu dengan rakan senegara, apabila kami masuk ke gelanggang kami mahu menang. Kami gembira kerana dapat permulaan yang baik di sini,” katanya.-Berita Harian