Azizul impikan ‘basic velodrom’ di setiap negeri

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang menyimpan impian untuk setiap negeri memiliki velodrom asas dalam usaha melahirkan lebih ramai pelapis pada masa akan datang.

Perkara itu dinyatakan ketika berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang mengadakan lawatan di fasiliti latihan pelumba terbabit Pusat Sukan Antarabangsa Darebin (DISC), Melbourne, Australia, baru-baru ini.

Azizul atau lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman bersama Hannah turut berkesempatan melawat Velodrom Brunswick yang juga menjadi lokasi latihan untuk pelumba berkenaan pada waktu tertentu.

“Velodrom Brunswick dibina pada tahun 1956 dan masih utuh sehingga ke hari ini manakala Brunswick Cycling Club pula bermula seawal tahun 1895 lagi.

“Ia menjadi fasiliti pelbagai guna orang awam untuk komuniti setempat yang memberikan banyak manfaat. Saya sempat menyatakan impian saya kepada YB Hannah Yeoh untuk mempunyai ‘basic velodrome’ seperti ini di setiap negeri di Malaysia suatu hari nanti,” tulisnya di laman sosial Facebook.

Selain itu, Azizulhasni turut menghargai kesudian Hannah melawatnya walaupun sibuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia 2024.

Pada masa sama, dia juga mengucapkan terima kasih atas sokongan tanpa berbelah bahagi dalam persiapannya ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

“Kami mengambil peluang untuk berbincang tentang keadaan semasa dan juga persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.-Harian Metro