Aaron-Wooi Yik perlu waspada ancaman beregu Taiwan

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu berwaspada dengan ancaman pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen apabila mereka membuat perhitungan pada aksi pusingan kedua Terbuka Perancis, esok.

Meskipun atas kertas pasangan nombor lima dunia itu diletakkan sebagai pilihan namun Fang Chih-Fang Jen yang menduduki ranking ke-24 sudah membuktikan mereka memiliki kemampuan untuk melakar kejutan.

Ini terbukti selepas pasangan berkenaan berjaya menewaskan satu lagi gandingan negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan pertama, kelmarin biarpun mereka tewas dalam semua tiga pertemuan sebelum itu.

Aaron-Wooi Yik pula tidak perlu bermandi peluh untuk melangkah ke pusingan kedua selepas lawan mereka dari Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel menarik diri ketika terikat 12-12 di set pertama semalam.

Difahamkan, gandingan Jerman itu terpaksa menarik diri selepas Lamsfuss mengalami kecederaan.

Walaupun timbul kebimbangan Aaron-Wooi Yik mungkin belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya selepas hanya sempat turun gelanggang selama 10 minit, namun Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya rentak permainan mereka tidak akan terjejas.

“Sekurang-kurangnya mereka sudah bermain untuk beberapa mata dan saya percaya mereka sudah boleh dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Apa yang mereka perlu lakukan adalah memberi fokus sepenuhnya apabila turun untuk aksi pusingan kedua nanti,” kata Rexy kepada BH Sukan.

Selain Aaron-Wooi Yik, satu lagi gandingan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turun akan beraksi di pusingan kedua, esok.

Mereka bagaimanapun berdepan ujian getir bagi memburu tempat ke suku akhir apabila dijadual menentang pasangan nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.-Berita Harian