Skuad lawn bowl Pahang sasar dua emas Sukma

Kuantan: Pasukan lawn bowl Pahang meletakkan sasaran membawa pulang dua pingat emas dan satu perak serta satu gangsa di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, Ogos nanti.

Pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur, mereka hanya mampu membawa pulang satu pingat gangsa dalam acara individu wanita menerusi Nik Asma Ifatul Aisya Bahari.

Pada Sukma kali ini, 12 pemain lelaki dan wanita akan membawa cabaran Pahang bersaing dalam sembilan acara.

Nik Asma Ifatul Aisya yang kini menjadi jurulatih pasukan berkata, sasaran mereka di Sarawak nanti tidak mustahil boleh dicapai.

“Kelebihan Pahang pada Sukma kali ini ialah kita mempunyai sekurang-kurangnya enam atlet senior yang beraksi pada Sukma 2022 dan pengalaman mereka menjadi kelebihan.

“Gandingan pemain baharu dan senior diharap dapat menghasilkan keputusan terbaik dan kami kini menjalani latihan di laman lawn bowl Majlis Sukan Pahang (MSP),” katanya.-Harian Metro