Peluang pemain negara uji gelanggang Olimpik

KUALA LUMPUR: Barisan pemain utama negara berpeluang menguji gelanggang rasmi badminton bagi Sukan Olimpik Paris 2024 apabila beraksi di Terbuka Perancis yang bermula hari ini.

Kejohanan bertaraf Super 750 itu buat julung kalinya akan berlangsung Arena Porte de la Chapelle yang dibuka awal bulan lalu.

Arena Porte de la Chapelle adalah dewan serbaguna yang dibina dengan kos 125 juta euro (RM641.50 juta) dan mempunyai kapasiti sebanyak 8,000 tempat duduk bagi penganjuran acara sukan manakala 9,000 untuk tujuan konsert.

Saingan Terbuka Perancis tahun ini diawalkan berbanding kebiasaannya yang berlangsung pada Oktober bagi membolehkan penganjur menguji gelanggang sebelum Olimpik Paris membuka tirai dari 26 Julai hingga 11 Ogos depanSituasi itu membuka peluang buat pemain negara untuk merasai suasana dan menyesuaikan diri dengan gelanggang baharu itu sebelum mereka beraksi di temasya terbesar dunia berkenaan

Antara pemain utama negara yang bakal beraksi adalah gandingan nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan membuka tirai saingan menentang beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel di pusingan pertama.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang kembali ke Paris dengan misi untuk merampas gelaran juara dimenangi pada 2022 akan berdepan wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Turut menjadi sandaran negara adalah beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang akan memulakan cabaran menentang rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Sementara itu, kelibat pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia pastinya akan menjadi tumpuan dengan dia menjadi wakil tunggal negara beraksi dalam acara berkenaan di Paris.

Ini selepas Ng Tze Yong terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan baru-baru ini susulan kecederaan belakang dialaminya.Zii Jia yang menduduki ranking ke-10 dunia akan membuka tirai aksi menentang pemain Denmark, Magnus Johannesen.

“Sesi latihan pertama di gelanggang kejohanan berjalan dengan baik,” kata jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng yang memuat naik video latihan Zii Jia ketika menguji gelanggang di Arena Porte de la Chapelle di laman Instagram miliknya, hari ini.-Berita Harian