Peluang Ee Yi-Yew Sin ke Paris 2024 makin tipis

KUALA LUMPUR: Peluang semakin tipis buat beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ini selepas pasangan ranking ke-12 dunia tersingkir di pusingan pertama Terbuka Perancis, hari ini.

Ee Yi-Yew Sin terpaksa akur apabila tunduk di tangan beregu nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 13-21, 22-24 pada aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.

Kekalahan menyaksikan pasangan negara itu tidak mempunyai pilihan selain perlu muncul juara dalam baki kejohanan disertai sebelum tarikh tutup kelayakan ke Olimpik Paris pada hujung bulan depan.

Ee Yi-Yew Sin yang berada di bawah bimbingan Rosman Razak selepas ini dijadual menyertai saingan Seluruh England dari 12 hingga 17 Mac, Terbuka Switzerland (19 hingga 24 Mac) dan Masters Sepanyol di Madrid (26 hingga 31 Mac).

Mereka turut dijadual beraksi dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) dari 9 hingga 14 April yang menjadi kejohanan terakhir sebelum tamat pusingan kelayakan ke Paris.

Ketika ini, Ee Yi-Yew Sin berada di kedudukan ke-13 ranking kelayakan ke Sukan Olimpik.

Kedua-dua pemain itu perlu berada dalam kelompok lapan terbaik bagi membolehkan mereka layak ke Paris ketika pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berada di kedudukan kelima hampir pasti membuat penampilan kedua di Olimpik selepas Tokyo 2020.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil dalam acara beregu sekiranya berada dalam kelompok lapan terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melangkah ke pusingan kedua Terbuka Perancis selepas menewaskan wakil Kanada, Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman 21-16, 21-18.

Bagaimanapun, mereka berdepan ujian getir bagi memburu tempat ke suku akhir apabila dijadual menentang Satwiksairaj-Chirag di pusingan kedua, Khamis ini.-Berita Harian