Aaron-Wooi Yik mudah ke pusingan kedua Terbuka Perancis

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak perlu bermandi peluh untuk melangkah ke pusingan kedua Terbuka Perancis, hari ini.

Pasangan nombor lima dunia itu yang turun menentang gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel diberi kemenangan selepas lawan berkenaan menarik diri ketika terikat 12-12 di set pertama pada aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.

Difahamkan, pasangan Jerman itu terpaksa menarik diri selepas Lamsfuss mengalami kecederaan.

Pada edisi tahun lalu, Aaron-Wooi Yik menarik diri daripada saingan Terbuka Perancis, dua hari selepas kejayaan mereka merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia BWF dengan menjuarai Terbuka Denmark.

Aaron-Wooi Yik seterusnya akan bertemu pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen bagi perebutan tiket ke suku akhir, Khamis ini.

Terdahulu, Fang Chih-Fang Jen mara ke pusingan kedua selepas menewaskan satu lagi beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei 21-19, 21-17.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terkandas di pusingan pertama kejohanan kali ini selepas tewas di tangan pemain nombor sembilan dunia dari China, Wang Zhi Yi 10-21, 14-21.-Berita Harian