Terbuka Perancis medan serlah kemampuan

KUALA LUMPUR: Saingan badminton Terbuka Perancis bermula Selasa ini dianggap cukup penting buat barisan pemain utama negara dalam persiapan menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mahu pemain mula menyerlahkan potensi sebenar mereka bagi meningkatkan keyakinan masing-masing sebelum aksi di Paris.

“Persiapan mereka baik, sekarang mereka hanya perlu mengekalkan prestasi dan momentum.

“Saya harap mereka tidak terkesan dengan perjalanan yang penat ini selain keadaan cuaca dari sangat panas di Kuala Lumpur sehingga sangat sejuk di sini (Paris).

“Saya mahu mereka mencapai prestasi terbaik masing-masing supaya dapat meningkatkan lagi kepercayaan dalam diri mereka dalam persiapan menuju ke Sukan Olimpik,” kata Rexy kepada BH Sukan.

Antara pemain utama negara yang bakal beraksi adalah gandingan nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan membuka tirai saingan menentang beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel di pusingan pertama.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang kembali ke Paris dengan misi untuk merampas gelaran juara dimenangi pada 2022 akan berdepan wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Turut menjadi sandaran negara adalah beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang akan memulakan cabaran menentang rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Sementara itu, kelibat pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia pastinya akan menjadi tumpuan dengan dia menjadi wakil tunggal negara beraksi dalam acara berkenaan di Paris.

Ini selepas Ng Tze Yong terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan baru-baru ini susulan kecederaan belakang dialaminya.Zii Jia yang menduduki ranking ke-10 dunia akan membuka tirai aksi menentang pemain Denmark, Magnus Johannesen.-Berita Harian